Khamis, 29 Oktober 2009

SOLAT BERJAMAAH... MARILAH RAMAI-RAMAI...

بسم الله الرحمن الرحيم الحمدلله رب العالمين ونصلى
ونسلم على سيدنا ونبينا محمد صلى الله عليه وسلم. اما بعد

PERTAMA; Bersyukur kerana kita dimasukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman. Sebagai orang yang beriman kita hendaklah sentiasa membuat muhasabah dan renungan ke dalam diri kita, ditahap mana sebenarnya keimanan kita, adakah iman kita semakin hari semakin meningkat, atau ianya semakin menurun.

•Imam al Ghazali (dalam kitab Bidayah al-Hidayah) telah membahagikan manusia ini kepada tiga darjat:

1. سَالِمٌ : Orang selamat – iaitu orang yang hanya menunaikan perkara yang fardhu dan meninggalkan maksiat.

2. َرابِحٌ : Orang yang beruntung – iaitu orang yang menunaikan perkara yang fardhu, meninggalkan maksiat, dan menambah pula dengan amalan sunat.

3. خَاِسرٌ : Orang yang rugi – iaitu orang yang sedikit atau cuai daripada melakukan perkara fardhu.

•Untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi-Nya, kita hendaklah mengerjakan sebanyak mungkin ibadat kepada-Nya. Namun begitu amalan yang paling baik ialah yang kekal dan istiqamah mengerjakannya. Sabda Rasulullah (saw);
أَحَبَّ الأعمالِ إلى اللهِ أدْوامُها وإنْ قَلَّ
-رواه البخاري ومسلم-
(Amalan yang sangat dikasihi oleh Allah ialah amalan yang tetap,
kekal dan tekun selalu walaupun sedikit)


•Dalam melaksanakan ibadat harian, kita hendaklah mengutamakan perkara-perkara yang fardhu, diikuti dengan yang sunat. Amalan yang sunat hendaklah dilakukan sebanyak-banyaknya, sebagai penambahan kepada amalan-amalan yang fardhu.

Namun begitu dalam kaedah agama ada menyebut;

ما لا يُدْرِكُ كُلُّهُ لا يُتْرَكُ كُلُّهُ

(Apa yang tidak dapat dibuat semuanya, jangan ditinggalkan kesemuanya)

•Dengan rahmat dan hidayah dari Allah (swt) pada ketika ini kita berada di rumah Allah, dinaungi dengan keredhaan dan keberkatan Allah, dipayungi oleh para malaikat Allah. Rasulullah (saw) bersabda;

الغُدُوُّ والرَّواحُ إلى المْسجدِ مِن الجهادِ فى سبيلِ اللهِ - رواه الطبراني

(Berulang alik ke masjid termasuk di dalam jihad fi sabilillah)

•Dalam hadis yang lain Rasulullah (saw) bersabda;

أَحَبُ الْبِلادِ إلى اللهِ مَساجِدُها وأبْغَضُ البلادِ إلى اللهِ أسْواقُها

- رواه مسلم عن ابي هريرة –

Sekasih-kasih tempat di atas (muka bumi) di sisi Allah ialah masjidnya,
dan sebenci-benci tempat (muka bumi) di sisi Allah ialah pasar-pasar.

•Mengapa masjid disukai Allah?
 Semulia-mulia tempat kerana ia adalah rumah ibadat kepada Allah.
 Menjadi tempat asas taqwa
 Tempat di mana turunnya rahmat Allah.

•Mengapa pasar dibenci Allah?
 Ia tempat yang melalaikan.
 Tempat banyak berlakunya penipuan, penindasan, takbur dan tamak.
 Tempat tersebarnya fitnah, sumpah palsu, dusta dan lain-lain kejahatan.


2. Bagaimana Solat Berjamaah Membentuk Ummah Cemerlang?

- Persoalan ini dapat kita huraikan dengan melihat kepada hikmat-hikmat yang terdapat dalam solat berjamaah itu sendiri, samada hikmat-hikmat itu telah disebutkan oleh Rasulullah (saw), para ulamak selepas baginda atau berdasarkan pemerhatian dan kajian yang boleh kita lakukan sendiri, antara hikmat-hikmat solat berjamaah yang dapat memacu ke arah pembentukan ummah cemerlang ialah;

1. Orang yang solat berjamaah akan mendapat penghormatan daripada Allah (swt).

- Penghormatan daripada Allah ini dijelaskan melalui ganjaran pahala yang dijanjikan melalui hadis-hadis Rasulullah (saw), antaranya;
• Solat berjamaah akan diberi ganjaran pahala sebanyak 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.
• Setiap langkah untuk menunaikan solah berjamaah akan diberikan sepuluh kebajikan dan dihapuskan sepuluh kejahatan.
• Sesiapa yang berjalan kerana pergi solat fardhu berjamaah, maka pahalanya sebagaimana pahala mengerjakan ibadat haji, dan sesiapa yang berjalan kerana pergi solat sunat berjamaah, maka pahalanya sebagaimana pahala mengerjakan satu umrah sunat.

- Dari sudut keutamaan solat fardhu secara berjamaah adalah sebagaimana susunan berikut:(2)
 Solat fardhu Jumaat
 Solat fardhu Subuh pagi Jumaat
 Solat fardhu Subuh
 Solat fardhu Isyak
 Solat fardhu Asar
 Solat Fardhu Zohor
 Solat Fardhu Maghrib

(2) Lihat dalam Kitab Fathu al-Mu’in, disebut juga di dalam kitab Muniyyat al Musolli
2. Solat berjamaah membentuk budaya disiplin dan kepatuhan kepada pemimpin atau ketua.

- Imam adalah perlambangan sebagai ketua/pemimpin yang mesti dipatuhi dan ditaati selama mereka tidak mendorong orang yang dipimpinnya melakukan perkara mungkar.

- Begitu juga imam di dalam solat, ia mesti diikuti, dipatuhi selama mereka tidak melakukan perkara yang membatalkan atau menyalahi perlakuan-perlakuan solat.

- Solat berjamaah akan menjadi lebih istimewa apabila imamnya adalah orang yang soleh, ahli kebajikan dan mengelokkan sesuatu keadaan serta elok bacaannya.

- Antara isu-isu yang dibincangkan di dalam kitab-kitab fekah ialah:
 Ma’mum menyamai atau mendahului imam; seperti dalam takbiratulihram, ruku’, i’tidal, sujud, duduk di antara dua sujud, duduk tahiyyat dan memberi salam. Perlakuan seperti ini mungkin menyebabkan kurang sempurna solat berjamaah tersebut, bahkan dalam keadaan tertentu ia boleh membatalkan batal solat tersebut.

 Yang sempurna bagi ma’mum ialah melakukan setiap perlakuan solat itu dibuat selepas imam sempurna melakukannya, seperti imam telah sempurna takbiratulihram, sempurna ruku’, i’tidal, sujud (setelah dahi imam mencecah tempat sujud), duduk antara dua sujud, duduk tahiyyat dan memberi salam (sempurna salam yang kedua imam).

 Ma’mum yang memberi salam pertama, sebelum imam selesai memberikan salamnya yang kedua, menyebabkan terputusnya hubungan makmum dengan imam, bermakna ma’mum tidak akan mendapat kesempurnaan pahala berjamaah.

 Antara adab yang perlu dijaga (akan menambahkan pahala solat berjamaah) ialah duduk seketika selepas salam untuk berzikir bersama imam, sehingga imam mengubah kedudukannya dengan berpaling ke kanan. Sekiranya ma’mum menunggu berzikir bersama imam sehingga selesai, akan menambahkan lagi kesempurnaan pahala berjamaah itu, walaupun berzikir itu tidaklah diwajibkan mengikut imam.

- Adalah tidak patut apabila selesai sahaja solat kita terus bangun dengan tidak bertasbih atau berzikir menyebut Allah walau sepatah pun. Orang yang terus bangun berdiri sesudah solat itu adalah orang yang tidak merasai kelazatan berhadapan dan bermunajat dengan Allah Rabbul’alamin.

- Antara zikir-zikir khusus selepas solat subuh dan maghrib adalah berdasarkan hadis Rasulullah (saw); (3)
1. عن ابي ذر رضي الله عنه قال، قال رسول الله (صلعم):
من قال في دبر صلاة الفجر وهوثاني رجليه
قبل ان يتكلم لا إله إلا الله وحده لا شريك له له المك وله الحمد يحيى ويميت
وهو على كل شيئ قديرعشر مرات كتب له عشر حسنات ومحيت عنه عشر سيئات
ورفع له عشر درجات وكان
يومه ذلك في حرزمن كل مكروه وحرس من الشيطان ولم ينبغ لذنب أن يدركه في ذلك اليوم إلا الشرك بالله. (رواه الترميذي)

(Sesiapa yang membaca selepas solat fardhu subuh sedang ia masih melipat kakinya sebelum ia berkata-kata (dengan kalam duniawi)لا إله إلا الله وحده لا شريك له (hingga akhir)sepuluh kali, ditulis untuknya sepuluh Kebajikan, dan dihapuskan daripadanya sepuluh kejahatan, dan diangkat baginya sepuluh darjat, dan adalah ia pada hari itu adalah benteng yang dikawal dari setiap yang tidak disukai, dan dari syaitan, dan tidak sepatut sebarang dosa mengenainya pada hari itu (segala dosa diampunkan baginya – jika dikehendaki Allah), kecuali syirik dengan Allah).

(3) Lihat kitab Tuntutan Jiwa; Ke Arah Kesempurnaan Ibadat. Hj. Nik Abd Kadir Hj. Nik Muhammad (1998)
2. قال رسول الله (صلعم): من قال لا إله إلا الله وحده لا شريك له له المك وله الحمد يحيى ويميت
وهو على كل شيئ قدير عشر مرات عشر على أثر المغرب بعث الله مسلحة يحفظونة من الشيطان
حتى يصبح، وكتب الله له بها عشر حسنات موجبات ومحا عنه عشر سيئات موبقات، وكانت له
بعدل عشر رقاب مؤمنات (رواه الترميذي)
(Sesiapa yang membaca لا إله إلا الله وحده لا شريك له (hingga akhir)sepuluh kali selepas maghrib, Allah akan menghantar sekumpulan malaikat menjaganya dari syaitan hingga waktu subuh. Dan ditulis oleh Allah untuknya sepuluh kebajikan,yang menyelamatkan dan menghapuskan daripadanya sepuluh keburukan yang membahayakan dan adalah untuknya pahala seperti memerdekakan sepuluh hamba yang beriman.

3. ممباخ اللهم أجِرْني مِنَ النّار (7 كالي)
(Ya tuhan ku, selamatkanlah aku dari neraka)
Abu Daud meriwayatkan bahawa Rasulullah (saw) ada bersabda; ”Apabila kamu selesai dari solat maghrib, bacalah tujuh kali اللهم أجِرْني مِنَ النّار maka sekiranya engkau mati pada malam itu, Allah tulis bagi engkau terselamat dari neraka, dan apabila selepas solat subuh dibaca demikian, sekiranya engkau mati pada hari itu, ditulis bagi engkau selamat dari neraka.”

3. Solat berjamaah membentuk ukhuwah dan erti persahabatan sesama Islam:

- Solat berjamaah dapat membentuk ukhuwah dan memberikan pengertian sebuah persahabatan atas dasar kepentingan agama. Sebab itulah Rasulullah (saw) telah mengambil tindakan segera selepas berhijrah ke Madinah dengan mempersaudarakan golongan Ansar dan Muhajirin, dengan tujuan untuk membentuk satu ikatan dan membina kekuatan ummah.

- Sheikh Daud bin Abdullah al Fatani, menyebut di dalam kitabnya (Munyah al Musolli); ”Orang yang lalai daripada berjamaah dikira sangat kelupaannya terhadap kepentingan agama dan sangat sedikit kesungguhannya mengenai kerja-kerja berkaitan dengan akhirat.

- Dengan menghadirkan diri ke masjid untuk menunaikan solat berjamaah, akan membuka ruang yang lebih luas untuk kita mengenali diri jiran dan rakan taulan kita. Lebih-lebih lagi dengan ta’rifan orang-orang yang baik yang diberikan oleh agama terhadap orang-orang yang mengerjakan solat berjamaah di samping penghormatan yang diberikan oleh Allah terhadap mereka.

- Antara hadis Rasulullah (saw) yang berkaitan dengan persahabatan ini dapat dilihat melalui sabdanya:

الْمَرْءُ على دينِ خِليلِهِ، فلْيَنْظُرْ أحدُكُم مَنْ يُخالِل -رواه ابو داود وترميذي زحسنه البيهقى-
(Seseorang itu mengikut agama (cara hidup) sahabatnya, oleh kerana itu
hendaklah seseorang kamu melihat terlebih dahulu siapakah
yang patut dijadikan sahabatnya.)

- Kesilapan memilih sahabat, akan mendorong kita melakukan perkara dosa dan maksiat sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat-sahabat kita, Rasulullah (saw) bersabda;
مَنْ أعانَ على معصيةٍ وَلَوْ بِشَطْرٍ كلِمَةٍ كان شريكَ له فيها
)Sesiapa menolong orang lain melakukan maksiat walaupun hanya dengan
setengah kalimah, maka orang itu dikira berkongsi di dalam melakukan
maksiat tersebut)

4. Orang yang solat berjamaah berpeluang berada di dalam majlis ilmu.

- Menjadi kebiasaan di negara kita, masjid-masjid menganjurkan majlis ilmu selepas solat maghrib. Majlis ilmu ini akan dikendalikan oleh orang-orang yang mempunyai kelayakan dan diiktiraf oleh masyarakat. Justeru itu orang-orang yang hadir menunaikan solat berjamaah akan berpeluang mengikuti kuliah-kuliah agama atau perbincangan isu-isu semasa berkaitan dengan agama secara langsung dengan guru-guru berkenaan. Rasulullah (saw) bersabda;
مَنْ خرجِ فى طلبِ العلمِ فهو فى سبيلِ اللهِ حتى يَرْجِع -رواه ترميذي-
(Sesiapa yang keluar untuk menuntut ilmu, maka ia berada fi sabilillah
hinggalah dia pulang).

- Isu yang timbul dalam masyarakat hari ini ialah apabila masyarakat lebih cenderung menerima ilmu, khususnya ilmu-ilmu agama daripada mereka yang bukan ahli dalam ilmu-ilmu agama, menyebabkan hujah-hujah yang diberikan lebih bersandarkan kepada logik-logik akal sahaja. Rasulullah (saw) bersabda;
آفةُ الدينُ ثلاثةُ، فقيهٌ فاجِرٌ وإمامٌ جائِرٌ ومُجْتَهِدٌ جاهِلٌ -رواه الديلمي عن ابن عباس-
(Penyakit agama ada tiga perkara; orang alim yang fasik,
ketua yang zalim,dan orang jahil yang mengaku mujtahid)

- Ilmu-ilmu agama hendaklah bersandarkan kepada al-Quran dan hadis serta huraian-huraian yang dibuat oleh para ulamak. Fatwa-fatwa atau pandangan para ulamak tersohor seperti empat imam mazhab dan lain-lain yang tersohor dari sudut keilmuan mereka tidak boleh dipertikaikan oleh kita hari ini, kerana para ulamak tersebut sebelum mengeluarkan sesuatu fatwa atau pandangan telah menguasai kepelbagaian disiplin ilmu agama yang sangat tinggi, sebab itulah Rasulullah (saw) menyebut العلماء وراثة الأنبياء .

AKHIRAN
 Pembinaan sesuatu ummah sebenarnya bermula daripada masjid sebagaimana Rasulullah tunjukkan dengan pembinaan Masjid Quba’ dan Masjid Nabawi di Madinah. Masjid adalah syiar Islam, manakala solat berjamaah adalah perkara asas yang mengikat persaudaraan dan pembinaan insan yang berkualiti.

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com