Maksud Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram dalam bulan haji kerana mengerjakan tawaf, saie, wukuf di Arafah dengan menurut syarat-syaratnya dan menunaikan segala wajib-wajibnya.
Umrah pula bermaksud; menziarahi Baitullah al-Haram kerana mengerjakan tawaf, saie dengan menurut syarat-syaratnya dan menunaikan segala wajib-wajibnya.
Haji dan Umrah diwajibkan sekali sahaja seumur hidup ke atas setiap orang Islam yang mencukupi syarat.
Syarat Wajib haji dan umrah ialah;
1. Islam; tidak wajib dan tidak sah haji orang kafir dan Murtad
2. Baligh (Cukup Umur); tidak diwajibkan mengerjakan haji bagi kanak-kanak. Jika ia mengerjakannya adalah sah tetapi tidak menggugurkan haji fardhunya, wajib mngerjakan haji semula setelah baligh.
3. Berakal; tidak wajib ke atas orang gila dan tidak sah jika ia lakukannya.
4. Merdeka; hamba ‘abdi tidak diwajibkan haji, tetapi sah dan mendapat pahala jika dilakukannya.
5. Berkuasa/berkemampuan mengerjakan haji dan umrah; Maksud Berkuasa/berkemampuan terbahagi kepada dua bahagian; Berkemampuan melakukan sendiri ataupun berkemampuan dengan pertolongan orang lain.
Maksud berkemampuan melakukan ibadat haji dan umrah secara sendiri, iaitu;
1. Berkemampuan membayar tambang dan segala perbelanjaan bagi mengerjakan haji hingga selesai dan balik ke tempatnya
2. Mempunyai bekalan yang cukup untuk saraan nafkah orang yang di bawah tanggungannya
3. Ada pengangkutan/kenderaan pergi balik
4. Aman perjalanan pergi balik seperti tiada peperangan, perompak, musuh yang mengancam keselamatan nyawa diri atau hartanya atau penyakit berjangkit yang membahayakan.
5. Sihat tubuh badan
6. Berkesempatan masa untuk mengerjakan haji atau umrah.
Bagi wanita ditambah dua syarat lain; iaitu;-
1. Dengan izin suami atau wali
2. Hendaklah ditemani oleh suami/mahram/perempuan lain yang dipercayai.
Berkemampuan dengan pertolongan orang lain bermaksud; Mereka yang mencukupi syarat-syarat dari segi kewangan untuk menunaikan fardhu haji tetapi tidak dapat mengerjakannya sendiri disebabkan uzur, sakit yang tiada harapan sembuh atau terlalu tua, yang telah berputus asa (tiada harapan) kerana tidak dapat menunaikan haji, maka boleh digantikan dengan orang lain untuk melaksanakan haji bagi pihak dirinya dengan memberi upah yang berpatutan atau dengan sukarela.
Begitu juga orang yang telah meninggal dunia sedangkan semasa hayatnya ia berkemampuan, tetapi ia tidak mengerjakan haji, maka terhutanglah haji ke atasnya sehinggalah warisnya atau orang yang menerima wasiatnya menyelesaikan hutang hajinya itu dengan memberi upah kepada orang lain untuk mengerjakannya bagi pihaknya atau mengerjakannya secara sukarela.
Hadis Nabi s.a.w bermaksud; “Laqit bin ‘Amir r.a telah datang berjumpa Nabi s.a.w dan berkata; Bapaku seorang yang telah tua, tidak berupaya menunaikan haji dan umrah, dan tidak berkuasa mengikuti rombongan atau berjalan untuk menunaikan haji dan umrah, Maka Rasulullah s.a.w bersabda; “Tunaikanlah haji untuk bapamu dan umrah untuknya.”
(Hadis riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi).
Berdasarkan hadis ini, membuktikan bahawa ibadat Haji dan ibadat Umrah harus diwakilkan/dikerjakan oleh orang lain dan juga Harus Upah Haji dan Umrah jika mencukupi syarat-syaratnya.
SYARAT-SYARAT ORANG YANG MENGAMBIL UPAH HAJI ATAU UPAH UMRAH;
1. Ia telah menunaikan fardhu haji dan umrah untuk dirinya sendiri dengan sempurna
2. Hendaklah melakukan ibadat haji untuk seorang sahaja dalam satu musim haji
3. Ia mestilah berihram di Miqat orang yang dihajikannya atau di tempat yang sama jauhnya dengan Miqat itu.
4. Ia hendaklah seorang yang cukup keahliannya (mengetahui cara-cara mengerjakan haji) bagi mengerjakan ibadat haji itu dengan menyempurnakannya seperti ia mengerjakan haji untuk dirinya sendiri
Di samping mengerjakan ibadat haji dan umrah, adalah amat disunatkan untuk menziarahi Maqam Nabi s.a.w dan Masjidil Nabawi di Madinah.
Hadis nabi s.a.w bermaksud;”Tidak digalakkan mengembara (ziarah) melainkan kepada tiga buah masjid; iaitu Masjidil Haram ( di Mekah), Masjidil Nabawi ( di Madinah) dan Masjidil Aqsa (di Baitul Maqdis).
(Hadis Mutafaqun ‘alaih)
Hadis lain menyebut;”Sesiapa yang menziarahi kuburku, akan mendapat syafaatku” (Hadis Riwayat al-Bazzar dan Darulqutni)
Hadis lain bermaksud;” Sesiapa yang mengerjakan haji ke Baitullah al-Haram, dan tidak menziarahiku, sesungguhnya ia menjauhi dirinya daripadaku” (Hadis riwayat Tabrani)
Janganlah kita lepaskan peluang ketika menunaikan umrah atau haji dengan tidak menziarahi Madinah. Sebaik-baiknya gunakanlah peluang yang ada semasa berada di Mekah dan Madinah dengan menziarahi tempat-tempat bersejarah sehingga kita dapat membayangkan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Rasulullah s.aw dan seterusnya memberi kesan dan semangat Islam yang mendalam kepada diri kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan