Jumaat, 30 Oktober 2009

HUKUM SOLAT BERJAMAAH... TEGURAN UNTUK PARA USTAZ?..

Terdapat beberapa pendapat ulama’ mengenai hukum solat berjamaah:

1. Sunat mu’akkad – Mazhab Hanafi dan Maliki.

2. Fardu ain/wajib (bukan syarat sah solat) - Ulama’ Hanbali.

3. Fardu kifayah - Pendapat mazhab Syafi’i.

Penjelasan ringkasnya:

1. Para ulama’ yang mengatakannya sebagai sunat Mua'kkad mengemukakan dalil dari beberapa hadis, antaranya ialah:

Sabda Rasulullah s.a.w.: “Solat berjamaah itu melebihi solat sendirian dengan 27 darjat”. [HR Bukhari No. 645, Muslim No. 650 dari Ibnu Umar ra].

Kata mereka: Hadis ini menjelaskan amalan solat berjamaah adalah afdhal (lebih) baik dari solat sendirian, maka afdhal adalah kelebihan bukan wajib.

2. Para ulama’ yang mengatakan bahawa solat berjamaah itu fardu ain/wajib menggunakan dalil:

i. Sabda Rasulullah saw: “Seberat-berat solat ke atas para munafiqin ialah solat isya’ dan solat subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalam dua solat berkenaan, tentulah mereka akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah, sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan solat berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa orang yang membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar rumah-rumah mereka”. [HR Bukhari No. 644. & Muslim No. 651 dari Abu Hurairah]

Hadis ini menunjukkan solat berjamaah wajib ke atas setiap orang (fardhu ain) lelaki yang mampu. Sekiranya solat jamaah adalah sunat tentulah Rasulullah saw tidak memberi amaran untuk membakarnya.

ii. Ibnu Ummi Maktum berkata: Wahai Rasulullah, saya seorang yang buta dan rumahku pula jauh dari masjid. Penunjuk jalan saya tidak serasi dengan diri saya. Adakah keringanan untuk saya bersolat di rumah? Rasulullah saw bertanya: “Adakah engkau mendengar azan?” Jawabku: Ya. Rasulullah saw bersabda: “Kamu tidak mendapat keringanan.” [HR Abu Daud No. 552, “Sahih”].

Rasulullah saw tidak memberi kelonggaran kepada orang buta meninggalkannya, maka orang yang celik tentulah lebih lagi.

3. Fardu kifayah. Jika di dalam suatu kampung atau negeri penduduknya enggan mengerjakan solat berjamaah, pemerintah hendaklah memerangi mereka.

Dalil mazhab ini:

Sabda Rasulullah saw: “Tidak terdapat tiga orang yang mendiami sebuah kampung atau penempatan yang tidak didirikan solat jamaah melainkan mereka akan dikuasai syaitan. Maka hendaklah kamu berjamaah, sesungguhnya serigala hanya memakan kambing yang bersendirian”. (HR Abu Daud No. 547. “Hasan”]

Hadis ini menunjukkan solat berjamaah adalah fardhu kifayah ke atas umat ini. [Lihat: Fiqh Al-Ibadat, Sheikh Hasan Ayyub: 238-247]

Sebab-sebab dibenarkan meninggalkan solat berjamaah;

Keuzuran yang dibenarkan oleh syara’ terbahagi kepada dua bahagian;

a- Keuzuran umum, seperti hujan lebat, angin kencang atau jalan yang terlalu becak dan licin.

Abdullah bin Umar ra telah melaungkan azan pada malam yang sejuk dan berangin. Kemudian beliau berkata: “Bersolatlah di rumah kamu”. Kemudian beliau menyambung lagi: “Rasulullah saw menyuruh muazzin supaya berkata: “(Apabila malam terlalu sejuk dan hujan) bersolatlah di rumah kamu”. [HR Al-Bukhari No. 635, Muslim No. 697]

Kita pasti mengetahui bahawa keuzuran ini jarang sekali berlaku pada hari ini melainkan di kampung pendalaman. Apalagi bagi negeri yang banyak hujan, ianya merupakan suatu kebiasaan bukan keuzuran.

b- Keuzuran Khas seperti sakit, dalam keadaan terlalu lapar dan dahaga, takut kepada orang yang akan melakukan kezalimana ke atas diri dan hartanya, juga ketika menahan diri daripada berlaku hadas, (mahu buang air besar atau air kecil) atau seorang yang berhutang takut keluar berjamaah kerana takut diekori oleh pemberi hutang sedangkan dia tidak mempunyai wang untuk membayarnya. Juga seorang yang baru sudah memakan makanan yang berbau busuk atau berpakaian kotor yang boleh menyakiti dan mengganggu orang lain oleh sebab baunya.

Semua keadaan ini dianggap keuzuran Syarak yang diizinkan untuk seseorang itu tidak menghadiri solat berjamaah. [Lihat Fiqh al-Manhaji: 178-179].

Kesimpulannya:

Solat berjamaah di masjid adalah merupakan satu syiar Islam yang agung. Samada ianya dikira sebagai sunat muakkad, fardhu kifayah atau fardhu ‘ain. Para ulama’ Islam telah sepakat bahawa menunaikan solat lima waktu di masjid adalah merupakan ketaatan yang dituntut dan penghampiran diri kepada Allah swt yang sangat besar.

Kerana itulah terdapat banyak sekali hadis-hadis yang menyebut tentang fadhilat, kepentingan solat jamaah dan larangan meninggalkannya. Di antaranya hadis yang telah disebut di atas tadi:

1. 27 gandaan pahala solat Jamaah.

2. Rasulullah saw mahu membakar rumah orang yang tidak bersolat jamaah.

3. Seorang sahabat ra yang buta meminta izin dari Rasulullah untuk diberi keuzuran daripada pergi ke masjid, tetapi tidak dibenarkan oleh Baginda saw.

4. Syaitan akan menguasai kumpulan tiga orang ke atas yang tidak mendirikan solat jamaah.

5. Meninggalkan solat jamaah adalah salah satu tanda-tanda orang munafiq. Kata Abdullah bin Mas’ud ra: “Kami dapati tidak ada orang yang cuai atau tidak datang untuk bersolat jamaah di masjid kecuali beliau ialah seorang yang telah dikenal pasti sebagai seorang munafiq ataupun orang sakit. Jika orang sakit dia akan dipimpin oleh dua orang sehingga sampai ke tempat solat.” Katanya lagi: “Nabi saw telah mengajar kami sunnahnya sebagai petunjuk, dan di antara sunnahnya ialah solat jamaah di masjid yang dilaungkan azan padanya.” [HR Muslim: 654].

6. Tidak dibenarkan keluar dari masjid orang yang telah berada di dalamnya apabila azan. Dari Abu Asy-Sya’tha’: “Kami sedang duduk di masjid bersama Abu Hurairah ra, tiba masa muazzin pun melaungkan azan. Tiba-tiba seorang lelaki bangun lalu berjalan keluar dari masjid, Abu Hurairah menjelingnya dengan ekor mata. Setelah lelaki itu keluar beliau berkata: “Orang itu telah menderhaka kepada Abu Al-Qasim (Rasulullah saw).” [HR Muslim: 655].

Abu Hurairah ra telah menganggap perbuatan tersebut sebagai menderhaka kepada Rasulullah saw kerana meninggalkan solat jamaah.

Kata ulama’: Sekiranya seorang itu keluar kerana keuzuran seperti ingin berwudhuk, menunaikan hajat atau menunaikan solat berjamah di masjid lain maka ia tidak termasuk dalam larangan tersebut.

Jika sedemikian sekali Rasulullah saw telah memperingati tentang kelebihan solat jamaah dan memberi amaran tentang keburukan meninggalkannya, maka kita sebagai umatnya yang mukmin tidak patut sekali meninggalkan amalan sunnah yang begitu mulia dan penuh manfaat duniawi dan ukhrawi ini tanpa keuzuran dan rukhsah yang dibenarkan Syarak dengan sewenang-wenangnya.

Mudah-mudahan kita sentiasa mendapat rahmat dan naungan daripada Allah agar dipermudahkan untuk melakukan kebajikan dan kebaikan serta segala amal ibadat kita diterima-Nya dan mati pada jalan yang diredhai-Nya. Amin.

Ini yang saya kutip dari tulisan Dr. Abdul Basit Abdul Rahman (www.abuanasmadani.com).

Khas untuk golongan yang bergelar ustaz/ilmuan;
Marilah kita menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakat Islam (orang awam). Sepatutnya kita berebut-rebut dalam mendapatkan ganjaran pahala. Jika pada bulan Ramadhan kita boleh hadir ke masjid untuk solat Tarawih (walaupun hukumnya sunat) padahal kita sibuk atau penat dengan kerja, pasti cuba hadir.. Kenapakah solat fardhu harian tidak dapat kita lakukannya?
Wahai ustaz-ustaz, masyarakat memperkatakan tentang kalian semua. Walaupun segelintir sahaja, tapi bak kata orang, kerna nila setitik, rosak habis... Apakah kalian tidak mengetahui hukum, atau kerana terlebih tahu... Jadi bila lagi mahu beramal?? Marilah kita solat berjamaah dan memakmurkan masjid, rumah Allah... Moga ilmu yang kita dapat, diberkati..Amin..

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com