Selasa, 27 Oktober 2009

ISU EGM PAS... BERKASIHKAH KITA??

Allah s.w.t. berfirman di dalam surah Al-Maidah ayat 54 ; "Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa yang berpaling dari kalangan kamu dari agamanya, kelak Allah akan mendatangkan satu kaum (golongan) yang (sifatnya) Dia (Allah) mencintai mereka dan mereka mencintai Allah...."

Ayat ini dan dua ayat selepasnya adalah ayat yang menggariskan tentang ciri-ciri tentera Allah (hizbullah). Ciri yang pertama ialah ciri yang disebutkan di dalam ayat tersebut iaitu - Allah mencintai mereka dan mereka mencintai Allah. Jika kita mentadabbur Al-Quran dan Hadith Nabi s.a.w, kita akan bertemu dengan banyak dan pelbagai jalan untuk menggapai cinta Allah s.w.t. antaranya ialah Hadith Nabi s.a.w. di bawah ini yang bermaksud ;

Abu Hurairah r.a. berkata ; bersabda Nabi s.a.w. ; "Ada seorang lelaki menziarahi temannya di sebuah kampung yang lain, maka Allah mengutuskan seorang Malaikat (dengan berupa manusia) menahanya di tengah jalan dan ketika bertemu, Malaikat itu bertanya ; Engkau hendak ke mana? Jawabnya ; Aku hendak bertemu saudaraku di kampung ini. Maka ditanya ; Adakah dia ada berbudi kepadamu hingga kamu terhutang budi padanya? Jawabnya ; Tidak, (tiada sebab lain) melainkan sesungguhnya aku mengasihinya semata-mata kerana Allah. Berkata Malaikat itu ; Maka sesungguhnya aku adalah utusan Allah kepadamu, (untuk menyampaikan) bahawa Allah sesungguhnya mengasihimu sebagaimana kamu kasih kepada saudaramu keranaNya (Allah)" - HR Imam Muslim

Hadith ini antara hadith yang boleh menjadi motivasi kepada kita untuk menghadiri program-program dakwah, tarbiyah dan perjuangan samada usrah, tamrin, mukhayyam, liqa' fikri, mabit, ijtimah, ziarah dan sebagainya. Selain dari manfaat peningkatan ilmu, pengalaman, ukhuwwah dan sebagainya, pertemuan-pertemuan kerana Allah itu sebenarnya mengundang KASIH ALLAH kepada kita. Dengan syarat, pertemuan itu hendaklah semata-mata kerena Allah s.w.t. dan kasihnya kita kepada saudara itu juga hendaklah kerena Allah s.w.t.

Inilah di antara proses pembinaan yang perlu kita berikan perhatian. BERTEMU KERANA ALLAH. MENJALIN UKHUWWAH KERANA ALLAH. Untuk mencapai hasrat tersebut, aktiviti yang melibatkan pertemuan mesti dikerapkan. Lebih kerap bertemu, lebih mendalam perkenalannya, lebih hangat bahang cintanya dan lebih kasih Allah pada kita...

Saudara yang saling berkasih kerana Allah, akan menjaga tutur kata dan tingkah lakunya dari mengguris atau melukakan saudaranya sendiri.... SOALNYA, BERKASIHKAH KITA?....

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com