Sabtu, 10 Oktober 2009

SATU PERSATU BALA ALLAH, SEDARLAH....

Dunia sedang menyaksikan berlakunya satu persatu bencana besar yang muncul ditengah-tengah kehidupan manusia moden yang sudah benar-benar kehilangan arah. Manusia yang teraba-raba mencari hakikat kebenaran dan kedamaian sedangkan Al-Quraan yang dibekalkan Allah kepada mereka tidak dihiraukan.benarlah sabda Nabi saw

فى هذه الأمة خسف ومسخ وقذف فقال رجل من المسلمين يا رسول الله ومتى ذاك ؟ فال اذا ظهرت القينات والمعازف وشربت الخمور

Maksudnya:

Akan terjadi di akhir zaman penenggelaman bumi, hujan batu dan pengubahan rupa. Seorang lelaki bertanya kepada RasuluLlah saw; Bilakah itu akan berlaku wahai Rasulullah? Baginda bersabda; Apabila muzik dan penyanyi wanita berleluasa serta Arak dianggap halal".(1).

Akhir abad ke 20 dan awal abad ke 21 merupakan tahun yang paling banyak membuktikan benarnya kenyataan Rasulullah saw. Kecanggihan peralatan manusia moden tidak mampu memberikan apa-apa penyelesaian kepada bencana ini. Gempa bumi yang berlaku di Kobe pada tahun 1995 membuktikan perkara tersebut. Jika bencana tersebut berlaku di negara yang miskin dan mundur, maka tentu ramai yang akan beranggapan ianya disebabkan ketidak mampuan negara tersebut memiliki peralatan pengesan gerak bumi. Tetapi apabila ianya berlaku dinegara maju yang mempunyai berbagai peralatan dengan disokong pula oleh kepakaran pakar-pakar, maka apa lagi alasan mereka untuk menidakkan "bala dari Allah itu?". Masih degilkah kita untuk mengakui "keperkasaan Allah" dan "kealpaan diri terhadap ajaranNya?".


Bencana yang berlaku serentak di Samoa,Padang, Australia,dan Filipina beberapa hari yang lalu sepatutnya menyedarkan kita betapa hebatnya kuasa Rabbul 'Alamin. Seorang petugas di Padang melapurkan ;


"Mereka ditelan bumi sedalam 30 meter akibat gempa dan longsor (tanah runtuh)," kata Ketua Pusat Penanganan Krisis Kementerian Kesihatan Indonesia, Rustam S. Pakaya yang dipetik detikcom, hari ini."
Islam melihat kemusnahan itu semua adalah berpunca daripada kejahatan tangan-tangan manusia itu sendiri. Manusia yang lalai terhadap peringatan Allah. Di negara kita sendiri dapat kita saksikan betapa kemaksiatan dan kemungkaran diberikan "kebenaran" manakala kebaikan dan kesolehan dihalang-halang dan disekat. Munculnya badan-badan dan kumpulan yang terang-terangan menghina Agama Allah dan hukumnya. Setakat ini hanya PAS dan badan-badan NGO yang membantah keceluparan SIS dan JAG. Dimana "bantahan kerajaan"dan UMNO? yang mewar-warkan "negara Islamnya itu". Dimana bantahan "Harussani?. Dimana bantahan Firdaus Al-Hafiz?. Apakah mereka mahu memberikan ruang yang seluas-luasnya kepada kedua-dua "Pertubuhan Jahil" ini menganyang Islam sepuas-puasnya?. Kemudian selepas itu mereka bersedia menunggu datangnya "bala daripada Allah?.
Sesungguhnya Gempa Bumi, Taufan, munculnya manusia yang mengaku menjadi Nabi, Lahirnya manusia-manusia yang jahil yang bercakap tentang agama serta bisunya para-para ahli Agama adalah ramuan yang memperlengkapkan lagi dalil hampir sudah Kiamat menjelma. Maka kembalilah kita segera kepada perintah agama. Kerana disitulah jalan kesejahteraan yang dijanjikan Allah kepada hamba-hambaNya.
_________________________________
(1). Riwayat Imam Turmuzi dalam sohehnya di dalam bab "Al-Fitan" hadis dari Imran bin Hussain. Ibnu Majjah juga meriwayatkan hadis ini, juga dalam Bab "Al-Fitan" dari Sahl bin Sa'ad. Manakala Imam Thabaroni meriwayatkannya dalam "Majmu' Al-Ausat". hadis ini dihukukkan Hadis Soheh.

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com