Beberapa hari lagi kita akan menyambut Hari raya Aidiladha yang merupakan salah satu dari hari kebesaran dan perayaan bagi seluruh umat Islam.
Anas bin Malik r.a berkata: Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya. Pada kedua-duanya mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah. Lali baginda bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ أَبْدَلَكُمْ بِهِمَا خَيْرًا مِنْهُمَا يَوْمَ الأَضْحَى وَيَوْمَ الْفِطْرِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya ALLAH telah menggantikan kedua-duanya bagi kamu semua dengan dua hari yang lebih baik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai, di dalam Sunan al-Nasa’i, hadis no: 959.
Aidiladha juga diberi gelaran sebagai hari raya haji kerana ia diraikan ketika umat Islam mengerjakan salah satu dari amal ibadah yang termasuk di dalam rukun Islam yang lima, iaitu ibadah haji. Di samping itu, Aidiladha juga dikenali sebagai hari raya korban kerana antara syiar semasa merayakannya adalah mengorbankan haiwan seperti unta, lembu, kambing dan biri-biri.
Ibadah korban dilakukan sempena memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s yang sanggup menyembelih anak kesayangannya Nabi Ismail a.s kerana taat kepada perintah ALLAH. Namun, berkat kesabaran serta ketaatan kedua-dua ayah dan anak ini maka ALLAH telah menggantikannya dengan seekor binatang ketika Nabi Ibrahim sudah bersedia menyembelih anaknya itu. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh ALLAH sebagaimana firman ALLAH S.W.T:
“Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. Insya ALLAH, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar.
Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah ALLAH itu), Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah. (KAMI sifatkan Ibrahim dengan kesungguhan azamnya itu telah menjalankan perintah KAMI).
Lantas KAMI menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya KAMI membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.
Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan KAMI tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta KAMI kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian.” – Surah al-Soffaat: 101-108.
Rentetan dari peristiwa ini, saban tahun ketika merayakan hari raya Aidiladha maka umat Islam menyembelih binatang-bintang korban lalu mengagih-agihkannya kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti orang miskin, anak yatim, orang Islam yang sedang ditimpa musibah dan lain-lain lagi.
KEUTAMAAN MENGERJAKAN IBADAH KORBAN
Ibadah korban ini memiliki keutamaan yang begitu besar bagi mereka yang mengerjakannya.
Firman ALLAH S.W.T:
“Dan KAMI jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama ALLAH untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama ALLAH (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah KAMI memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.
Daging dan darah binatang korban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada ALLAH. Tetapi, yang sampai kepada-NYA ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah DIA memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat nikmat petunjuk-NYA. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya.” – Surah al-Haj: 36-37.
Melalui ayat di atas dapat kita senaraikan beberapa keutamaan ibadah korban seperti berikut:
1) Ibadah korban dapat membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat dengan mempereratkan hubungan kasih sayang antara golongan yang kurang bernasib baik seperti golongan fakir miskin, anak yatim, ibu tunggal dan seumpamanya dengan golongan yang bernasib baik melalui pengagihan daging-daging korban.
2) Ibadah korban berupaya membentuk insan yang bersyukur melalui penyembelihan haiwan korban yang dilakukannya dengan menggunakan hasil rezeki tersebut dalam rangka beribadah dan mendekatkan diri kepada ALLAH.
3) Ibadah korban dapat membentuk jiwa yang ikhlas kerana sejumlah wang ringgit telah dibelanjakan demi mendapat keredhaan ALLAH.
4) Ia juga merupakan bukti ketakwaan kita kepada ALLAH kerana menurut perintahnya.
5) Ibadah korban merupakan amalan mulia dan sesiapa yang menunaikan ibadah tersebut bakal mendapat ganjaran paling baik, iaitu syurga.
HUKUM IBADAH KORBAN
Para ulamak berbeza pendapat mengenai hukum melakukan ibadah korban. Ia terbahagi kepada dua pendapat, iaitu:
1. Wajib bagi yang mampu.
Ini merupakan pendapat Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Rabi’ah al-Ra’yi, al-Auza’i, al-Laits bin Saad, salah satu dari pendapat Imam Ahmad bin Hanbal dan pendapat ini telah dirajihkan (dibenarkan) oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah. Dalil-dalil yang menyokong pendapat ini adalah seperti berikut:
“Oleh itu, kerjakanlah solat kerana TUHANnmu semata-mata dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur).” – Surah al-Kautsar: 2.
Ayat ini menggambarkan kewajipan ibadah korban sebagaimana kewajipan mengerjakan solat. Ini kerana, kedua-dua ibadah tersebut dihubungkan dengan kata penghubung wau (و) bermaksud ‘dan’ yang mana ia menunjukkan ada persamaan hukum.
Jundab bin Abdillah bin Sufyan al-Bajali r.a berkata:
صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَوْمَ النَّحْرِ ثُمَّ خَطَبَ ثُمَّ ذَبَحَ فَقَالَ: مَنْ ذَبَحَ قَبْلَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيَذْبَحْ أُخْرَى مَكَانَهَا وَمَنْ لَمْ يَذْبَحْ فَلْيَذْبَحْ بِاسْمِ اللَّهِ
Maksudnya:
“Nabi s.a.w solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: Sesiapa yang menyembelih sebelum solat (hari raya Aidiladha), sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama ALLAH.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, hadis no: 985.
Perintah Rasulullah s.a.w agar mengulangi ibadah korban jika ia dilakukan sebelum solat hari raya Aidiladha menunjukkan ia termasuk perkara wajib. Jika tidak, sudah pasti baginda tidak akan memerintahkan agar penyembelihan diulangi.
Menurut Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w telah bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ سَعَةٌ وَلَمْ يُضَحِّ فَلاَ يَقْرَبَنَّ مُصَلاَّنَا
Maksudnya:
“Sesiapa yang memiliki kemampuan (keluasan rezeki) dan tidak menyembelih, maka jangan dekati tempat solat kami.” – Hadis riwayat Imam Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, hadis no: 3114
Hadis ini berupa ancaman bagi golongan yang memiliki kemampuan untuk menyembelih pada hari raya Aidiladha tetapi tidak mengerjakan ibadah korban. Ancaman berat ini tidak akan dikeluarkan oleh baginda melainkan ia sebagai bukti mengenai kewajipannya.
Mikhnaf bin Sulaim r.a berkata:
كُنَّا وُقُوفًا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِعَرَفَاتٍ فَسَمِعْتُهُ يَقُولُ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ عَلَى كُلِّ أَهْلِ بَيْتٍ فِي كُلِّ عَامٍ أُضْحِيَّةٌ وَعَتِيرَةٌ. هَلْ تَدْرُونَ مَا الْعَتِيرَةُ؟ هِيَ الَّتِي تُسَمُّونَهَا الرَّجَبِيَّةَ.
Maksudnya:
“Kami bersama Rasulullah dan baginda wukuf di Arafah lalu berkata: Wahai manusia! Sesungguhnya wajib bagi setiap keluarga pada setiap tahun (mengerjakan ibadah) korban dan ‘atirah. Baginda berkata: Tahukah kalian apakah ‘atirah itu?. Iaitu yang dikatakan orang Rajabiyah (kambing yang disembelih pada bulan Rejab).” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam kitab Sunan Tirmizi, hadis no: 1438.
Hadis ini jelas membuktikan bahawa ibadah korban dan ‘atirah itu diwajibkan kepada semua umat Islam yang berkemampuan. Walau bagaimanapun, hukum bagi ‘atirah telah dimansuhkan. Namun, ia tidak memansuhkan ibadah korban. Bahkan, kewajipannya masih berterusan hingga sekarang.
2. Sunat atau sunat muakkad (sunnah yang amat dituntut) bagi yang mampu.
Inilah pendapat jumhur (majoriti) ulama dan pendapat Imam Syafie r.h. Golongan ini berpegang kepada dalil-dalil seperti berikut:
Menurut Ummu Salamah r.a, Nabi s.a.w telah bersabda:
إِذَا دَخَلَتْ الْعَشْرُ وَأَرَادَ أَحَدُكُمْ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَمَسَّ مِنْ شَعَرِهِ وَبَشَرِهِ شَيْئًا
Maksudnya:
“Jika masuk sepuluh hari pertama Dzulhijjah dan salah seorang daripada kamu semua ingin menyembelih (haiwan) korban, janganlah memotong sedikitpun dari rambut dan kukunya.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 1977.
Dalil ini menunjukkan bahawa ibadah korban tidak wajib berdasarkan kata-kata baginda ‘dan salah seorang antara kamu semua yang ingin’. Ia menggambarkan kepada kita bahawa baginda memberi pilihan kepada sesiapa sahaja sama ada untuk menyembelih atau sebaliknya. Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti baginda memberi pilihan kepada seseorang sambil berkata: “Janganlah memotong rambut dan kukunya sehingga selesai menyembelih haiwan korban.”
Jabir r.a berkata:
شَهِدْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الأَضْحَى بِالْمُصَلَّى فَلَمَّا قَضَى خُطْبَتَهُ نَزَلَ مِنْ مِنْبَرِهِ وَأُتِيَ بِكَبْشٍ فَذَبَحَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِيَدِهِ وَقَالَ بِسْمِ اللَّهِ وَاللَّهُ أَكْبَرُ هَذَا عَنِّي وَعَمَّنْ لَمْ يُضَحِّ مِنْ أُمَّتِي
Maksudnya:
“Aku menyaksikan bersama Nabi s.a.w solat Aidiladha di musolla (tanah lapang). Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas Rasulullah menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: Bismillah wallahu Akbar (Dengan nama ALLAH dan ALLAH Maha Besar). Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum meyembelih.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunan Abu Daud, hadis no: 2427.
Selain itu, kata-kata baginda ‘ini dariku dan dari umatku yang belum menyembelih’ diungkapkan secara lafaz mutlak dan umum bukan secara khusus. Bermakna, memadai ibadah ini diwakilkan kepada seseorang sebagaimana baginda mewakili seluruh para sahabat yang masih belum melakukan korban.
Inilah dalil menunjukkan ibadah korban tidak wajib. Sekiranya ia wajib, tentu bagi mereka yang meninggalkan ibadah tersebut berhak dihukum dan tidak memadai baginda mewakilkan korbannya itu kepada seseorang.
Abu Sarihah al-Ghiffari, beliau berkata:
مَا أَدْرَكْتُ أَبَا بَكْرٍ أَوْ رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ كَانَا لاَ يُضَحِّيَانِ – فِي بَعْضِ حَدِيْثِهِمْ – كَرَاهِيَّةَ أَنْ يُقْتَدَى بِهِمَا
Maksudnya:
“Aku mendapati Abu Bakar atau melihat Abu Bakar dan Umar tidak menyembelih (haiwan) korban – dalam sebahagian hadis mereka – khuatir dijadikan ikutan orang terkemudian.” – Hadis riwayat al-Baihaqi di dalam Sunan al-Kubra, jil. 9, ms. 295. Syeikh al-Albani telah mensahihkan riwayat ini di dalam Irwa’ al-Ghalil, hadis no: 1139.
Seandainya ibadah korban itu wajib, pasti Abu Bakar dan Umar r.a akan mendahului umat Islam dalam melakukan ibadah korban.
Sebelum membuat rumusan tentang hukum ibadah korban, kita hendaklah fahami bahawa hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu ibadah hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan ataupun tidak sahaja. Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu amalan itu tsabit daripada baginda s.a.w mereka akan berusaha bersungguh-sungguh mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.
Namun, kedua-dua pendapat tersebut memiliki hujah daripada baginda s.a.w dan seharusnya kita berlapang dada dalam permasalahan khilafiyah sebegini.
Syeikh Muhammad al-Amin al-Syingqiti r.h berkata:
“Aku telah meneliti dalil-dalil daripada sunnah mengenai pendapat yang mewajibkan dan yang tidak mewajibkan ibadah korban. Menurut pandangan kami, tidak ada satu dalil dari kedua-dua pendapat tersebut yang kuat, pasti dan selamat dari kritikan sama ada menunjukkan ia wajib atau tidak…
Yang rajih (tepat) menurutku dalam hal yang tidak jelas mengenai nas-nas dalam suatu perkara kepada suatu perkara yang lain bahkan tanpa mempunyai dalil yang kuat dan jelas ialah berusaha sedaya mungkin keluar dari khilaf dengan melakukan korban apabila mampu. Ini kerana, Nabi s.a.w bersabda: “Tinggalkanlah perkara yang ragu kepada yang tidak ragu.”
Sepatutnya, seseorang tidak meninggalkannya apabila mampu kerana menunaikannya sudah pasti menghilangkan tanggung jawabnya.” – Rujuk Kitab Adhwaa’ al-Bayaan Fi Idhah al-Quran bil Qur’an karya Syeikh Muhammad al-Amin al-Syanqiti, jil. 5 ms. 618.
Oleh itu, penulis lebih cenderung kepada pendapat jumhur (majoriti) ulama kerana mustahil Abu Bakar dan Umar r.a meninggalkan sesuatu amalan yang wajib apatah lagi mereka berdua merupakan imam yang layak manjadi ikutan dan kelayakkan mereka telah dijamin oleh Rasulullah s.a.w
Sabda Rasulullah s.a.w:
فَإِنْ يُطِيعُوا أَبَا بَكْرٍ وَ عُمَرَ يَرْتَشُدُوا
Maksudnya:
“Sekiranya mereka semua mentaati Abu Bakar dan Umar, pasti mereka mendapat petunjuk.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, hadis no: 681
Tiada ulasan:
Catat Ulasan