Selasa, 22 September 2009

Raya.. Betul-betul Raya?...

Sunnah Nabi SAW Di Pagi Raya

1- Sebelum pergi menunaikan Solat Sunnah Hari Raya AidilFitri, Baginda SAW akan mengenakan pakaiannya yang terbaik, kemudian menjamah tamar dengan bilangan butiran yang ganjil iaitu 3, 5, atau 7 biji. Hal ini berlainan dengan Hari Raya AidilAdha di mana Baginda SAW imsak (tidak makan) sebelum menunaikan Solat Sunat Hari Raya AidilAdha.

2- Baginda SAW akan berpesan agar kaum muslimin menyegerakan pembahagian Zakat Fitrah kepada mereka yang berhak, manakala Solat Sunat AidilAdha disegerakan supaya umat Islam dapat mempercepatkan urursan penyembelihan korban.

3- Ibnu Umar r.a kerana mahu bersungguh-sungguh menghayati sunnah Nabi SAW, beliau hanya akan keluar untuk pergi menunaikan Solat Sunat selepas terbitnya matahari dan di sepanjang perjalanan, beliau akan terus bertakbir dan bertahmid memuji Allah taala.

4- Nabi SAW akan mengerjakan solat Sunat itu sebelum berkhutbah. Di dalam solat berkenaan, baginda SAW akan bertakbir sebanyak 7 kali dan berhenti seketika. Hanya riwayat Ibu Mas'ud sahaja yang menjelaskan bahawa Nabi SAW membaca Hamdalah dan bersolawat di antara takbir tersebut. Kemudia pada rakaat yang kedua, Nabi SAW bertakbir sebanyak 5 kali. Diriwayatkan juga bahawa Ibnu Umar r.a mengangkat kedua-dua tangannya semasa bertakbir.

5- Pada rakaat pertama, Nabi SAW membaca Surah al-Fatihah dan Surah al-Qaf, dan di rakaat kedua pula Nabi SAW membaca Surah al-Fatihah dan Surah al-Qamar. Kadang-kadang Baginda SAW akan membaca Surah al-A'la dan Surah al-Ghasyiah.

6- Nabi SAW tidak mengerjakan sebarang Solat sebelum atau selepas Solat Sunat Hari Raya itu. Dari Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: "Sesungguhnya Nabi SAW menunaikan Solat Sunat Raya dua rakaat tanpa disertai solat yang lain baik sebelumnya mahupun sesudahnya." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Kelebihan Puasa 6 Syawal

Abu Ayyub al-Ansari r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Barangsiapa berpuasa penuh di bulan Ramadhan lalu menyambungnya dengan (puasa) 6 hari di bulan Syawal, maka (pahalanya) seperti ia berpuasa selama 1 tahun." (Riwayat Muslim)

Imam Ahmad dan an-Nasai'e meriwayatkan dari Thauban, Nabi SAW telah bersabda: "Puasa Ramadhan (ganjarannya) sebanding dengan (puasa) 10 tahun, sedangkan puasa 6 hari di bulan Syawal, (pahalanya) sebanding dengan puasa 2 bulan, maka itulah bagaikan berpuasa setahun penuh." (Hadis Riwayat Ibu Khuzaimah dan Ibnu Hibban)

Amalan Yang Patut Dilakukan Pada Hari Raya

Dalam menyambut kedatangan AidilFitri sewajarnya kita menyambut dan mengamalkan beberapa amalan yang dianjurkan oleh Islam yang di antaranya ialah:

1- Memperbanyakkan takbir dan tahmid kepada Allah taala
2- Memperbanyakkan amalan Sunat pada malam hari Raya
3- Memastikan penyempurnaan zakat fitrah bagi diri dan ahli keluarga
4- Mengelakkan pembaziran ketika menyambut hari raya dengan persiapan yang sederhana
5- Mandi Sunat di pagi Hari Raya
6- Memakai pakaian baru/ bersih/ yang terbaik sebagai menzahirkan tanda kesyukuran kepada Allah taala
7- Memakai wangi-wangian pada Pagi Hari Raya
8- Memohon keampunan dan bermaaf-maafan dengan ibubapa, suami, isteri dan anak-anak
9- Makan sedikit sebelum ke masjid dan mengambil laluan yang berbeza untuk pergi dan balik
10- Solat Sunat Hari Raya dan mendengar khutbah dengan penuh penghayatan
11- Saling menziarahi kaum keluarga, sahabat handai, jiran tetangga dan sebagainya
12- Tidak lupa bersedekah kepada mereka yang memerlukan
13- Mengelakkan sambutan Hari Raya daripada perkara yang dilarang oleh Syara'

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com