Isnin, 17 Mei 2010

WASPADA DENGAN AJARAN AYAH PIN DI FACEBOOK...

Oleh Ustaz Saiful Bahri

Pemimpin kumpulan ajaran sesat Kerajaan Langit, Ariffin Mohamed yang lebih dikenali dengan panggilan Ayah Pin, kini muncul di laman Facebook. Dengan menggunakan nama ‘Arifin Muhamad’ profil itu menyebut alamat penulis di Sungai Padi, Thailand. Pandangan politiknya dinyatakan sebagai ‘Kerajaan Langit’ dan pandangan agamanya ‘sangat liberal’. Dia menyifatkan Islam sebagai ‘mempunyai nilai moral rendah’ dan menggesa orang ramai supaya keluar dari agama Islam. Bersama lampiran perakuan sumpah murtadnya ia menyesatkan orang lain dengan ajaran karutnya.

Kumpulan Ayah Pin merupakan antara lima kumpulan ajaran sesat paling tegar dikesan di Malaysia dan mula bergerak pada tahun 1982. Ia antara lain, mengamalkan ratib secara kuat dalam gelap dengan bercampur antara lelaki dan wanita. Pemimpinnya pula, Arrifin Muhammad , 65 tahun mengaku dirinya sebagai tuhan, pencipta semua agama serta pemegang kunci ke syurga.

Dalam satu sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Ayah Pin difatwakan sebagai sesat dan diwartakan pada 4 Disember 1997. Antara perkara yang terdapat dalam ajaran Ayah Pin adalah dia pernah mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Katanya, di dalam ajaran itu juga;

• Menyatakan Rukun Islam dan hukum-hukum syarak seperti puasa dan zakat tiada kena mengena dengan Allah. Ayah Pin mendakwa pergi ke Mekah menunaikan haji adalah sia-sia. Kiamat tidak akan berlaku kerana Allah tidak bodoh menjadikan alam kemudian dimusnahkan.
• Jika seseorang itu hendak menjadi Islam, perlulah menjadi kafir terlebih dahulu. Dia juga mendakwa al-Quran yang ada sekarang adalah tidak benar. Ayah Pin mendakwa syurga adalah terhad kepada pengikutnya sahaja dan orang lain adalah seperti babi (Khinzir) belaka (kotor).
• Mendakwa dia akan menjadi Perdana Menteri di akhirat nanti dan juga pernah naik ke langit serta duduk di atas arasy. Ajaran Ayah Pin juga tidak percaya kepada Rasulullah kerana Rasulullah adalah manusia dan boleh mengatasinya dengan berzikir.
• Berzikir adalah lebih afdal daripada sembahyang lima waktu dan jika seseorang itu telah ilham, zuk, kasyaf, maka sembahyang lima waktu digugurkan.
• Waktu Solat subuh berpanjangan hingga ke Zuhur.
• Apabila bermimpi anak gadis pengikutnya berkahwin, si bapa perlu ‘menyerahkannya’ kepada ayah Pin untuk diserahkan kepada lelaki bertuah itu. Anjur upacara pengampunan yang dilakukan ketika bulan mengambang dan pengikut wanita perlu menanggalkan pakaian yang tidak suci serta perlu bersetubuh dangan ‘tuhan’ untuk mendapat lebih berkat. Pengikut perempuan dikehendaki bernikah secara batin dengan ‘Tuhan’ (ayah Pin)
• Ayah Pin mempunyai keajaiban menyumpah orang menjadi batu dan menukarkan individu menjadi muda. Wang diberikan Ariffin tidak akan habis apabila dibelanjakan.
• Ayah Pin boleh membawa roh pengikut untuk berjumpa nenek moyang setahun sekali.
• Isteri ayah Pin bukan orang biasa tetapi Puteri Gunung Ledang, Puteri Saadong, Puteri Nanu dan Puteri Matahari.
• Semua benda boleh dimakan termasuk yang diharamkan oleh agama Islam.

Ayah Pin juga mendakwa:-

• Tidak ada orang lain selain saya dan Nabi Muhammad saw yang berguru dengan Jibril”. Setiap kali Sembahyang hendaklah beriktikad bahawa Ayah Pin berada di hadapan.
• Quran perlu dibakar dan abunya dilumur pada tubuh Ayah Pin. Setiap kali berhimpun di Gua Bayu, Gua Musang, Kelantan. Sebiji Quran akan dibakar dan abunya akan dilumur pada tubuh Ayah Pin.
• Mendakwa beliau telah melalui semua agama-agama barulah jadi Islam dan menerima syahadah secara langsung dengan Tuhan. Di atas muka bumi ini tiada orang lain yang memimpin manusia melainkan Ayah Pin seorang.
• Nyawa manusia yang ada di atas muka bumi adalah duduk ditangannya kerana dia memegang segal kunci-kunci akhirat. Kalau bersyair memuji-muji di atas nama Ayah Pin adalah lebih afdhal daripada berzikir dan bersembahyang. Semasa mengucap dua kalimah syahadah hendaklah beriktikad dalam hati kepada Ayah Pin.
• Jika ada ahli yang akan mati, Ayah Pin akan pergi dahului untuk menentukan bagi simati syurga atau neraka.
Bukan beliau sahaja mendakwa bukan Islam tetapi juga antara pengikutnya. Termasuklah Kamariah Ali, 54, dan Daud Mamat, 63, yang pernah ke mahkamah untuk memohon pengistiharan atas hak kebebasan beragama seperti dalam Artikel 11(1) Perlembagaan Persekutuan yang merangkumi hak seseorang beragama Islam yang mencapai umur majoriti untuk keluar daripada agamanya.

Ekoran itu ayah pin didakwa di bawah Seksyen 10 Enakmen Kesalahan Jenayah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana dikatakan bertindak menghina pihak berkuasa agama di rumahnya di Kampung Batu 13, Mukim Tenang, Hulu Besut pada 20 Julai 2005. Tertuduh dikatakan mengingkari fatwa bahawa ajaran yang diamalkannya sesat dan menyeleweng serta boleh membawa ancaman kepada ketenteraman awam serta boleh merosakkan akidah.

Apabila timbul isu kemunculan semula Ayah Pin dan orang ramai mempersoalkan kenapa tindakan tidak diambil? Apabila ditujuk kepada pihak polis mereka mendakwa bahawa pihak JHEAT (Jabatan agama Islam) negeri itu kata tidak perlu. Kemudiannya ia dinafikan pula oleh pihak JHEAT.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri, Muhamad Ramli Nuh yang mendakwa keutamaan kerajaan negeri ialah menghapuskan ajaran itu dan bukan mengheret Ayah Pin ke mahkamah. Beliau menyifatkan tindakan menahan dan membicarakan Ayah Pin tidak penting tetapi yang paling penting ialah tindakan ‘menghalau’ Ayah Pin (ke Selatan Thailand) sudah berjaya. Beliau juga melahirkan rasa keraguan dan tidakpercaya kepada keupayaan mahkamah syariah dan menyatakan Ayah Pin mungkin boleh terlepas. Katanya, untuk menahan seseorang yang dikaitkan dengan kesalahan membabitkan ajaran sesat sesuatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Persoalannya kenapakah terlalu lemah pihak kerajaan pimpinan UMNO-BN dan JHEAT sehingga tidak dapat membawa bukti dan saksi bahawa Ayah Pin telah memesongkan aqidah Islam. Sedangkan semua senarai kesesatan yang dilakukan secara jelas dan nyata bahkan kerajaan langit Ayah pin dibinasakan di Besut. Kenyataan Ayah Pin sendiri divideokan dan dikeluarkan VCD. Lapuran pegawai penyiasat pun dah berapa kali lapuran. Kajian akademik tentang ajaran Ayah Pin pun dah berapa kajian yang dihasilkan. Fatwa pun dah diwartakan. Tinggal apa lagi.

Sebenarnya yang tersirat adalah pihak kerajaan pimpinan UMNO-BN takut bertindak terhadap Ayah Pin. Kalau semasa Derih Jusoh mungkin segan kerana hubungan baik Ayah Pin dengan keluarga Derih. Tetapi dizaman Mat Said ni, kenapa tak berani nak ambil tindakan. Bukankah Mat Said ni gedebe. Kalau orang lain diajak bergocoh takkan demi agama Islam dan menentang ajaran sesat Mat Said takut. Takkan takut kot nak ambil tindakan terhadap Ayah Pin.
Hakikatnya, UMNO-BN bersama JHEAT takut untuk dihadapkan Ayah Pin ke mahkamah kerana semasa kerajaan Pas memerintah telah meluluskan rang enakmen tambahan termasuk Hudud, Qisas & Ta’zir. (2001). Bayangkan kalau dibicarakan menurut hukum Hudud, mereka akan dihukum bunuh. Sanggupkah UMNO-BN menghadapi kontraversi untuk melaksanakan hukuman tersebut. Kalaulah hukuman sebat hanya sekadar 5 rotan terhadap pesalah minum arak Kartika Saridewi pun UMNO-BN Pahang kecut perut sehingga terpaksa berselindung disebalik kuasa Sultan, apatah lagi jika kes hukuman bunuh. Mereka takut dituduh teroris oleh Obama dan kuncu-kuncunya. Apatah lagi kalau diketahui oleh APCO. Mengamuk sakan Yahudi tu.

Tindakan yang paling selamat menurut YB Ramli Nuh adalah menghalau ke Selatan Thailand. Sekarang ini kerajaan langit menggunakan facebook untuk menyesatkan orang-ramai. Apakah tindakan UMNO-BN itu berkesan. Apakah tindakan seterusnya. Adakah nak dibiarkan beliau terus menyesatkan orang ramai?

Kes Ayah Pin ini lebih kurang sama dengan kes di Jakarta beberapa hari lepas. Seorang datuk 15 cucu mendakwa melawat syurga dua kali. Beliau mengaku pernah mi’raj ke langit ketujuh dan melihat Surga serta menerima wahyu dari Tuhan sekembalinya ke Bumi mendapat kejutan Jumaat lalu apabila dipenjarakan setahun kerana mempersendakan agama. Bakri Abdullah, 70, juga dikenali Amaq Bakri, Papuq Junaedi dan Abdullah. Beliau ditahan Oktober tahun lalu selepas dia menyebabkan penduduk kampungnya di timur Lombok berang kerana mendakwa seorang nabi. Dia mendakwa dua kali dibawa ke syurga, pertama pada 1970-an dan sekali lagi pada 2005, dari sebuah hutan di cerun Gunung Rinjani Lombok. Pada kali kedua diangkat ke langit, dia juga melawat alam lain iaitu alam roh.

Walaupun di penjarakan setahun tetapi paling kurang ada tindakan yang dilakukan. Dimana sebenarnya sikap UMNO-BN ini terhadap ajaran sesat. Hari-hari kita lihat kepercayaan tahyul dan khurafat semakin berkembang. Lapuran Jakim menyebut ajaran sesat bukannya menurun tetapi semakin meningkat. Tv, Radio, Cerita-cerita dan drama di tayangkan dengan kisah-kisah tahyul. Cerita hantu dan kisah karut-marut rekaan manusia. Ini memberi ruang dunia hitam dan kejahatan berkembang kembali.
Dimana peranan UMNO-BN untuk membendung budaya sesat ini. Banyak lagi ajaran sesat di Terengganu sendiri. Bukannya makin kurang bahkan makin menyusut. Sudah tidak selamat lagi aqidah anak bangsa Terengganu. Kenapa dibiarkan sahaja. Kalau xtvt Pas, siap ada SB mengikuti dengan mencatat dan merakam. Tetapi ajaran sesat dibiarkan sahaja. Kenapa?Adakah UMNO-BN menjaga kepentingan politik? Sebab kebanyakan mereka ini memberi sokongan kepada UMNO-BN. Apakah UMNO-BN sendiri bersekongkol dengan ajaran-ajaran seperti ini. Atau adakah UMNO sendiri itu terseleweng dari Islam? Kalau begitu macamana nak diharapkan ketam mengajar anaknya berjalan lurus.

http://ustsaifulbahri.blogspot.com/

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com