Jumaat, 21 Mei 2010

KEWAJIPAN MENCEGAH KEMUNGKARAN (KONSERT GOYANG DANGDUT INUL)... BANTAHLAH DENGAN TANGAN, KATA-KATA ATAUPUN SEKURANG-KURANG DENGAN HATI...

Hiburan pada asalnya adalah harus dalam Islam. Ini didasarkan kepada :
1- Hadis Aisyah yang mendengar nyanyian dua gadis di rumah Rasulullah s.a.w,
2- Perbuatan para sahabat yang bernasyid semasa mengorek parit pertahanan Madinah dan
3- Perbuatan Rasulullah s.a.w yang membawa Aisyah melihat tarian hamba Habsyi.

Hiburan hendaklah dijadikan sebagai alat bukan matlamat. Hiburan adalah alat untuk mendidik, merehatkan diri, membina silaturrahmi dan lain-lain yang harus dan dianjurkan oleh Islam. Ini adalah kerana matlamat hidup manusia ialah untuk memperhambakan diri pada tuhan bukan untuk mempertuhankan hiburan. Kemuncaknya ialah hiburan adalah sebahagian dari ubudiyah kepada Allah taala atau jalan yang menuju pada ubudiyah.

Dalam isu Konsert Inul Daratista yang dijangka akan diadakan di Kompleks Sukan Tawau pada 29 Mei 2010, ada 1 persoalan yang menarik, iaitu :
APAKAH HUKUM LELAKI MENDENGAR NYANYIAN WANITA :

Prof Dr Syeikh Ahmad as-Syarbadi, seorang pensyarah di Universiti al-Azhar menjawab:
Hukum mendengar suara nyanyian wanita adalah bergantung kepada keadaan suara tersebut.
Ia menjadi HARAM apabila :
1- Sekiranya suara wanita itu suara yang lemah lembut dan menaikkan syahwat maka hukum nyanyian ini adalah haram. Hukum lelaki mendengarnya pun adalah haram kerana boleh menyebabkan terjebak dalam dosa.
2- BERSIFAT GODAAN : Ini juga kerana suara ini boleh menimbulkan godaan kepada orang lelaki.
3-ADA UNSUR HARAM PADA LAGU TERSEBUT :
Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan oleh Allah Taala atau menjurus kepada yang haram seperti:
1. memuja wanita. 2. mendedahkan aurat.
3. menggalakkan pergaulan bebas. 4. memuja dadah dan arak.
5. menghina amalan-amalan Islam. 6. memfitnah orang.
7. mengandungi kata-kata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan dan mempropagandakan kepercayaan agama lain.
8. mengandungi khayalan-khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta.

Nyanyian wanita tadi akan menjadi HARUS , berdasarkan kepada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat, apabila syarat-syarat ini dipenuhi :
1. Suara yang yang normal, terpelihara daripada perkara yang haram, tidak ada nada yang lemah gemalai dan tidak menyebabkan godaan kepada lelaki.
2. Lirik yang baik, terpelihara dari perkara yang tidak elok dan lirik yang menggalakkan kepada perkara yang baik. Maka tidak haram mendengarnya.
3. Penyanyi wanita itu, hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok, apatah lagi bergelek secara mengghairahkan.
[ kesemua hujah ini dipetik dan difahami daripada Kitab Rujukan: Bainal Fan wal Feqh oleh Rejab Abu Malih]

Persoalannya kini, sejauh mana Konsert Inul berjaya melepasi syarat-syarat yang diketengahkan tadi ?

Hujah pertama :Ternyata kita semua mengetahui siapa Inul Daratista ? Imejnya yang seksi, suaranya yang menggoda, baju fitnya yang seakan-akan warna kulit, goyangan pinggul Inul yang memberahikan dan gerudiannya yang meluruhkan Iman. Adalah dikhuatiri timbul fitnah akibat mendengar nyanyiannya & menyaksikan gerudiannya, dan timbulnya gejolak nafsu syahwat yang bermula daripada pandangan dan alunan suaranya. Keadaan ,ini memberi kesan yang amat bahaya, kerana ia adalah bibit-bibit bermulanya penzinaan yang diharamkan oleh Allah Taala. Maka sudah sepatutnya perkara ini diambil berat dan dibatasi. Firman Allah :

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا (32)]

“Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji (fahisyah) dan suatu jalan yang buruk.” (QS. Al Isra’: 32).

Al-Imam Al-Alusiy dlm Tafsir Ruhul Ma’aaniy nya berkata: Janganlah kamu mendekati apa-apa yang berhubungan dengan zina dan membawa kepada zina apalagi sampai berzina.

Ini bermakna, salah satu daripada syarat-syarat utama sebentar tadi tidak mampu dipenuhi oleh penyanyi gelek ini.

Hujah Kedua :
Dalam konsert ini, berlaku penyalahgunaan terhadap muzik & hiburan itu sendiri.

Hujjatul Islam alGhazali (Ihya' Ulumidin, Jilid ke 2, halaman 283-301) pernah menjelaskan ada tiga komponen penting yang mempengaruhi hukum muzik yang mungkin berubah dari masa kesemasa: az- zaman, al- makan dan al- ikhwan.

1- 'az- Zaman' : merujuk kepada masa, apakah hiburan itu melalaikan daripada jihad dan ibadah. Ternyata ia melibatkan dua waktu solat yang terpenting iaitu Asar & Maghrib. Dek kerana mahu hadir awal, dan tidak mau berganjak dari tempatnya, 2 solat ini pasti tergadai.

2- 'al- Makan' merujuk kepada suasana, situasi, occasion atau upacara di mana hiburan itu dipersembahkan.

3- al- 'Ikhwan' merujuk kepada aktiviti hiburan itu; jika dengan muzik itu boleh menyebabkan mereka terdedah kepada manusia yang jahat atau membawa kepada kejatuhan moral. Belum lagi ditambah dengan kemungkinan berlakunya pergaduhan & perkelahian ganas, yang kebiasaannya berlaku selepas berlangsung konsert ini, sepertimana yang telah berlaku sebelum ini.
Menurut Imam al-Ghazali r.a inilah tiga komponen yang menjadi neraca bagi muslim di setiap zaman untuk menghukum dan mengadili sesuatu bentuk hiburan, samada ianya diharuskan @ dilarang. Ternyata ketiga-tiga aspek ini pun terlalu sukar untuk dipenuhi.

Apabila dasar-dasar & batas-batas minima ini tdk terpenuhi, maka keseluruhan program & konsert itu berada diambang kemurkaan Allah. Natijahnya konsert yang bakal berlangsung ini adalah HARAM dari sudut agama !!! Lantaran itu, konsert ini wajar dibantah, demi kepentingan seluruh umat Islam. Menaruh perasaan benci terhadap penganjuran konsert ini, menunjukkan sekelumit Iman masih bertapak dihati kita.

Kesimpulannya:
1- Umat Islam yang prihatin dalam hal ini, menyeru ibu-bapa supaya mengambil tanggungjawab memastikan anak-anak anda agar tidak terbabit dalam Konsert Inul yang bakal berlangsung nanti. Kerana inilah tuntutan amar makruf dan nahi munkar yang wajib dilaksanakan oleh ketua keluarga. Firman Allah :

{وَلْتَكُنْ مِنْكُمْ أُمَّةٌ يَدْعُونَ إِلَى الْخَيْرِ وَيَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ
وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ} [آل عمران : 104]

Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang berjaya.

Andai kita tidak melaksanakan tugas mencegah kemungkaran dan konsert ini, bermakna kita telah menzalimi diri sendiri dan ahli keluarga kita.

SEMOGA KEHIDUPAN KITA DIBERKATI ALLAH...

Nukilan ini sedutan dari blog http://zaimhilmi.blogspot.com

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com