Isnin, 23 Mac 2009

Abu Lahab Menyambut Maulid Rasulullah s.a.w?

Mengikut sejarahnya, orang yang paling ketara menyatakan kegembiraan dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w ialah bapa saudara Nabi iaitu Abu Lahab. Dia sanggup memerdekakan hamba sahayanya kerana ingin menyatakan kepada umum bahawa dialah manusia yang paling gembira. Tidak cukup sekadar itu, Abu Lahab mengadakan perarakan dengan mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali. Mungkin perarakan ini hampir serupa dengan perarakan yang dilakukan oleh masyarakat pada hari ini ketika menyambut Maulidur Rasul saban tahun.
Namun setelah anak saudaranya diutus oleh Allah dengan membawa ajaran Islam yang bertentangan dengan masyarakat Makkah pada ketika itu, maka Abu Lahab lah yang mula-mula sekali menunjukkan sikap penentangan secara terbuka dan berani dengan menyatakan bahawa apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad, anak saudaranya, adalah ajaran yang karut dan sesat kerana ia menyalahi amalan yang dilakukan oleh nenek moyang mereka sejak berzaman lamanya.
Persoalannya, adakah Allah s.w.t menerima pengorbanan Abu Lahab dengan hanya menyambut kelahiran baginda Rasulullah s.a.w. Jawapannya sudah tentulah tidak, kerana Allah tidak melihat kepada aspek sambutan itu, tetapi Dia melihat kepada amalan, cara hidup dan akidah yang sebenar yang dikehendaki oleh Allah s.w.t sebagaimana yang dibawa oleh Rasululllah s.a.w.
Jadi, adakah pengisian sambutan Maulidur Rasul yang kita laksanakan saban tahun hanya sekadar seperti Abu Lahab, tanpa ada usaha untuk mendalami ilmu dan melaksanakan apa yang diajar oleh Rasulullah s.a.w?

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com

PROMOSI....TEMPAHAN TAFSIR AL-QURAN PERKATA...