PENGENALAN
Allah SWT telah
menurunkan al-Quran sebagai satu mukjizat yang membuktikan kerasulan Nabi
Muhammad s.a.w. dan kewujudan Allah SWT dengan segala sifat-sifat
kesempurnaannya. Membaca al-Quran serta menghayati dan mengamalkannya adalah
satu ibadat. Ia merupakan satu kitab panduan hidup manusia dan rujukan utama di
samping sunnah Rasulullah. Al-Quran dinukilkan kepada kita secara mutawatir,
pasti dan qati dan ditulis mashaf yang hari ini lebih dikenali sebagai mashaf
Uthmani. Adalah wajar bagi kita umat Islam mengkaji sejarah al-Quran dan
perkara yang berkaitan dengannya.
Penulisan ini akan mengemukakan satu
perbincangan mengenai penurunan al-Quran (Nuzul al-Quran) salah satu aspek
daripada pengajian Ulum al-Quran. Ilmu berkaitan Nuzul akan membicarakan mengenai
cara-cara wahyu diturunkan, peringkatnya, tempat-tempat turunnya ayat-ayat
al-Quran, masanya, awalnya dan akhirnya. Berdasarkan ilmu tersebut, kita dapat
mengetahui ayat-ayat Makkiyah dan Madaniyyah dan juga mengetahui asbab
al-nuzul.
PENGERTIAN NUZUL AL-QURAN
Daripada segi bahasa,
perkataan Nuzul bererti menetap di satu tempat atau turun dari tempat yang
tinggi. Kata perbuatannya nazala (نزل) membawa maksud dia telah turun atau dia
menjadi tetamu. Sebenarnya penggunaan istilah Nuzul al-Quran ini secara majaz
atau simbolik sahaja yang bermaksud pemberitahuan al-Quran. Tujuannya untuk
menunjukkan ketinggian al-Quran. Secara teknikalnya Nuzul al-Quran bererti
penurunan al-Quran dari langit kepada Nabi Allah yang terakhir. Perkataan Nuzul
dalam pelbagai wajah sama ada kata nama, kata perbuatan atau lainnya digunakan
dalam al-Quran sebanyak lebih kurang 290 kali. Sebagai contoh, Dia yang
telah..menurunkan hujan. (al-Baqarah:22), Dialah.yang menurunkan Taurat dan
Injil. (ali Imran:3) dan banyak lagi ayat-ayat lain.
CARA AL-QURAN (WAHYU)
DITURUNKAN
Aishah isteri
Rasulullah s.a.w. meriwayatkan sebelum Nabi Muhammad diangkat menjadi Rasul,
beliau bermimpi perkara yang benar lalu beliau menyendiri di gua Hira beribadah
kepada Allah SWT untuk selama beberapa tahun. Di gua berkenaanlah baginda
menerima wahyu yang pertama. Harith bin Hisham, seorang sahabat Rasulullah
s.a.w. pernah bertanya kepada Baginda bagaimana Wahyu diturunkan kepadanya.
Rasulullah menjawab,Kadang-kadang wahyu datang kepada-ku dengan gema (desingan)
loceng dan ini amat berat bagi-ku, dan sementara bunyi itu hilang aku
mengingati apa yang disampaikan kepada-ku. Kadang ia datang dalam bentuk
jelmaan malaikat kepada-ku merupai lelaki, bercakap dengan-ku dan aku menerima
apa saja yang disampaikannya kepada-ku.
PERINGKAT PENURUNAN AL-QURAN
Para ulama menyatakan
penurunan al-Quran berlaku dalam dua bentuk iaitu secara sekali gus, dan
berperingkat. Walau bagaimanapun mereka berselisih pendapat tentang berapa kali
berlakunya penurunan al-Quran secara sekali gus. Terdapat tiga pandangan
mengenai hal ini, iaitu;
Kali Pertama; penurunan al-Quran dari Allah SWT ke al-Lauh al-Mahfuz;
Kali kedua; dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia;
dan Kali Ketiga; Penurunan kepada Jibril a.s. dalam tempoh 20 malam.
Al-Suyuti dalam
kitabnya al-Itqan fi Ulum al-Quran berdasarkan tiga riwayat oleh Ibn Abbas,
Hakim dan al-Nasai, hanya membahagikan kepada dua peringkat sahaja iaitu dari
al-Lauh Mahfuz ke Bait al-Izzah dan dari Bait al-Izzah kepada Rasulullah s.a.w.
melalui Jibril a.s.
1. Dari Allah SWT ke al-Lauh
al-Mahfuz.
Penurunan ini berlaku
sekali gus dengan tujuan untuk membuktikan ketinggian dan kekuasaan Allah SWT.
Para Malaikat menyaksikan bahawa segala perkara yang ditentukan oleh Allah SWT
di Luh Mahfuz ini benar-benar berlaku. Pendapat ini disandarkan kepada ayat 21
dan 22 surah al-Buruj yang berbunyi, بَلْ هُوَ قُرْآنٌ
مجيد فِي لَوْحٍ مَحْفُوظ .
(Sebenarnya apa yang engkau sampaikan kepada mereka bukanlah syair atau sihir),
bahkan ialah Al-Quran yang tertinggi kemuliaannya; (Lagi yang terpelihara
dengan sebaik-baiknya) pada Luh Mahfuz. (al-Buruj:21-22)
2. Dari al-Lauh al-Mahfuz ke
Bait al-Izzah di langit dunia.
Penurunan kali kedua
secara sekali gus dari al-Lauh al-Mahfuz ke Bait al-Izzah di langit dunia
dipercayai berlaku berpandukan kepada tiga (3) ayat al-Quran sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Ibn Abbas; Allah SWT berfirman, شَهْرُ
رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِنَ
الْهُدَى وَالْفُرْقَانِ فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ وَمَنْ
كَانَ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ يُرِيدُ اللَّهُ
بِكُمُ الْيُسْرَ وَلا يُرِيدُ بِكُمُ الْعُسْرَ وَلِتُكْمِلُوا الْعِدَّةَ
وَلِتُكَبِّرُوا اللَّهَ عَلَى مَا هَدَاكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu
ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi
sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk
dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa
dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka
hendaklah dia berpuasa bulan itu dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka
(bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang
ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu)
Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak menghendaki kamu
menanggung kesukaran dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan
Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan
supaya kamu bersyukur. (al-Baqarah:185) Firman Allah SWT, إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُبَارَكَةٍ إِنَّا كُنَّا مُنْذِرِينَ Sesungguhnya Kami telah menurunkan
Al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana
sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba
Kami ditimpa azab). (ad-Dukhan:3) Firman Allah SWT, إِنَّا
أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar. (al-Qadr:1)
Ibn Abbas juga menyatakan mengikut apa yang diriwayatkan oleh Said b. Jubayr:
Al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat. Ikrimah pula
meriwayatkan Abdullah bin Abbas berkata: Al-Quran diasingkan daripada al-Dhikr الذكر dan
ditempatkan di Bait al-Izzah di langit dunia. Ibn Marduwayh dan al-Baihaqi
mencatatkan perbualan antara Atiyyah bin al-Aswad dan Abdullah bin Abbas yang
mana Atiyyah agak keliru mengenai penurunan ayat-ayat ini, Pada bulan Ramadhan
al-Quran diturunkan, dan Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada
Malam Lailatul-Qadar, ia juga diturunkan pada bulan Syawwal, Dhu al-Qaedah, Dhu
al-Hijjah, al-Muharram, Safar dan Rabi al-Awwal.Kemudian Ibn Abbas menjelaskan:
Al-Quran diturunkan pada malam Lailatul-Qadar sekali gus kemudiannya untuk
diwahyukan kepada Rasulullah s.a.w. secara beransur-ansur selama beberapa bulan
dan hari.
3. Dari Bait al-Izzah kepada
Rasulullah s.a.w. (dalam masa 20 malam).
Penurunan di
peringkat ini telah berlaku secara beransur-ansur. Al-Quran mula diturunkan
kepada Rasulullah s.a.w. sejak baginda dilantik menjadi Rasulullah s.a.w. dan
selesai apabila baginda hampir wafat, iaitu dalam tempoh dua puluh tiga tahun.
Tiga belas tahun di Makkah dan sepuluh tahun di Madinah al-Munawwarah. Mengikut
pendapat ini, Jibril a.s. diberi Malam Lailatul-Qadar setiap tahun, dari mula
turun wahyu hingga ke akhirnya sepanjang tempoh kenabian, sebahagian daripada
al-Quran disimpan di Bait al-Izzah yang mencukupi baginya untuk disampaikan
kepada Rasulullah s.a.w. dalam masa 20 malam. Pandangan ini dipegang kuat oleh
al-Mawardi. Kritikan terhadap Pandangan atau Pendapat di atas. Mengenai
pendapat pertama mengenai al-Quran diturunkan sekali gus dari Allah SWT ke
al-Lauh Mahfuz tidak disokong oleh bukti yang jelas dan kukuh. Ayat dalam surah
al-Buruj yang digunakan sebagai hujah tidak menunjukkan secara tersurat atau
tersirat mengenai penurunan sekali gus. Para ulama hanya membuat tafsiran pada
ayat ini. Maksud ayat ini menceritakan tentang al-Quran dipelihara daripada
sebarang pencemaran. Ayat ini ditujukan kepada musuh-musuh Islam yang cuba
menambah, mengurang atau mengubah ayat al-Quran tidak akan dapat berbuat
demikian kerana ia akan tetap tulen dan selamat. Tafsiran ini disokong oleh
para mufassir seperti Tabari, Baghawi, Razi dan Ibn Kathir. Pendapat kedua
tentang penurunan sekali gus ke Bait al-Izzah berpandukan kepada ayat 2, surah
al-Baqarah dan ayat 1, surah al-Qadr tidak menyatakan secara jelas mengenai
al-Quran diturunkan sekali gus pada malam yang penuh berkat tersebut. Kenyataan
al-Quran ini merujuk kepada masa ia diturunkan dan tidak mengenai bagaimana
atau cara ia diturunkan. Ulama tabiin yang terkenal Amir al-Shaabi mengatakan:
Sudah pasti penurunan al-Quran berlaku pada Malam Lailatul-Qadr pada bulan
Ramadhan, dan terus turun dalam masa 23 tahun. Tidak ada Nuzul lain melainkan
yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w. Jumhur bersetuju yang ayat 1-5
daripada surah al-Alaq diturunkan di akhir Ramadhan 13 tahun sebelum Hijrah.
Ketiga-tiga ayat yang dijadikan hujah di atas, tidak dinafikan, merujuk kepada
ayat 1-15 surah al-Alaq. Cuma para ulama mentafsirkan ayat 185 surah al-Baqarah
sebagai keseluruhan al-Quran. Para ulama, fuqaha, ahli hadith dan ahli tafsir
semuanya bersetuju perkataan al-Quran merujuk kepada sebuah al-Quran atau
sebahagian daripadanya. Malah ia dinyatakan dalam surah al-Araf, ayat 204,
Allah SWT berfirman, وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ
فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia
serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu
beroleh rahmat. Mengenai riwayat Ibn Abbas, ia merupakan pandangan beliau dan
tidak ada dikaitkan dengan sebarang ucapan Rasulullah s.a.w. sebagai satu
sumber menyokong pendapatnya. Suatu persoalan timbul mengapa perkara sepenting
ini hanya disebut oleh Ibn Abbas sedangkan di kalangan sahabat yang diiktiraf
sebagai pakar al-Quran seperti Abdullah Masud, Ubayy bin Kaab, Zaid bin Thabit
dan Muaz bin Jabal tidak membicarakan perkara Nuzul al-Quran yang diturun
sekali gus ke Bait al-Izzah. Al-Zarqani berpendapat tidak wajar untuk
mempersoalkan atau tidak mempercayai Ibn Abbas kerana beliau dikenali sebagai
orang yang tidak ada kaitan dengan cerita-cerita israiliyat serta pendiriannya
sebagai sahabat, oleh itu beliau tergolong di bawah Hukm al-Marfu iaitu perkara
yang ada hubungan dengan Rasulullah s.a.w. Sebahagian ulama berpendapat
penurunan al-Quran hanya sekali sahaja iaitu daripada Allah SWT terus kepada
Rasulullah melalui Jibril secara berperingkat dan bukannya tiga kali dari Allah
SWT ke al-Lauh al-Mahfuz, ke Bait al-Izzah dan kepada Rasulullah. Penulisan ini
tidak akan terbabit dalam perbahasan ulama mengenai jumlah penurunan dan juga
mengenai riwayat Ibn Abbas bersandarkan kepada Rasulullah atau tidak. Penulis
hanya menyampaikan adanya perbezaan pendapat di kalangan ulama mengenai jumlah
Nuzul.
HIKMAT AL-QURAN DITURUNKAN
BERANSUR-ANSUR
Al-Quran diturunkan
sedikit demi sedikit supaya mudah dihafal, difahami dan dilaksanakan. Ia
sebagai satu rahmat dan kurniaan yang sangat berkesan kepada hamba-hambaNya.
Sekiranya al-Quran diturunkan sekali gus, sudah tentu ia akan menyusahi dan
memberatkan, baik daripada segi hafalan, pemahaman dan pelaksanaannya dalam
kehidupan. Al-Khudhari mengatakan tempoh al-Quran diturunkan ialah 22 tahun 22
bulan dan 22 hari, bermula daripada 17hb. Ramadhan tahun 41 kelahiran
Rasulullah s.a.w. hinggalah 9hb. Zulhijjah, tahun ke 10 Hijrah. Dalam tempoh
tersebut al-Quran dihafal oleh Rasulullah dan para sahabat serta dicatat oleh
panitia penulis al-Quran kemudian dikumpulkan pada zaman Sayidina Abu Bakr r.a.
dan disempurnakan pada masa Sayidina Uthman r.a. Antara hikmat utama Allah SWT
merencanakan penurunan al-Quran kepada baginda Rasulullah SAW ini secara
beransur-ansur adalah seperti berikut :
1. Untuk menetapkan
jiwa Rasulullah s.a.w. dan menguatkan hatinya.
Ini kerana dengan turunnya
Jibril a.s. membawa wahyu secara berulang-ulang daripada Allah SWT kepada
Rasul-Nya dapat menguatkan jiwa Rasulullah s.a.w. Baginda dapat merasakan
pertolongan serta inayat Ilahi tersebut. Tanggungjawab sebagai Nabi adalah
berat dan Rasulullah sebagai seorang manusia yang sudah tentu akan menghadapi
pelbagai cabaran getir dalam menyampaikan risalah bukan sahaja menghadapi
tekanan, sekatan, cercaan, maki hamun malah ancaman nyawa daripada kaumnya
sendiri Quraisy dan juga dari kalangan Yahudi dan orang munafik. Tentulah
beliau memerlukan belaian wahyu sebagai penenang kepada semua itu.
2. Untuk mendidik
masyarakat waktu itu secara beransur-ansur.
Ini akan memudahkan mereka untuk
memahami al-Quran dan menghafaznya serta dapat beramal dengannya berdasarkan
peristiwa-peristiwa yang berlaku di kalangan mereka. Oleh itu mereka dapat
mengikis akidah amalan dan adat yang bertentangan dengan Islam secara
beransur-ansur. Oleh itu sedikit demi sedikit ianya dapat dihapuskan.
3. Untuk menyesuaikan
dengan peristiwa yang baharu berlaku
Iaitu apabila timbul sesuatu masalah di
kalangan mereka, turunlah al-Quran menentukan hukum yang sesuai untuk
menyelesaikan masalah tersebut. Contohnya, ayat mengenai persoalan roh dan
seumpamanya.
4. Untuk menunjukkan
bahawa sumber al-Quran itu Kalam Allah SWT semata-mata.
Ia bukan ciptaan Nabi
Muhammad s.a.w. atau makhluk lain.
AYAT PERTAMA DAN AKHIR DITURUNKAN
Ketinggian kedudukan
al-Quran dan keagungan ajaran-ajarannya akan dapat merobah kehidupan manusia,
menghubungkan langit dengan bumi, dan dunia dengan akhirat. Pengetahuan
mengenai sejarah perundangan Islam daripada sumber utama iaitu al-Quran akan menggambarkan
kepada kita mengenai pemeringkatan hukum dan penyesuaiannya dengan keadaan
tempat hukum itu diturunkan yang memerlukan perbahasan mengenai apa yang
pertama dan terakhir diturunkan.
1. Yang Pertama Diturunkan
Terdapat empat
pendapat mengenai apakah yang mula-mula diturunkan mengenai al-Quran:-
i) Jumhur (Pendapat
yang paling rajih atau sahih) bersetuju iaitu yang pertama diturunkan ialah
lima ayat pertama daripada surah al-Alaq berdasarkan riwayat Aisyah yang
dicatatkan oleh Imam Bukhari, Muslim dan al-Hakim dalam kitab-kitab hadith
mereka. Aisyah r.a. menyatakan: Sesungguhnya permulaan wahyu datang kepada
Rasulullah s.a.w. melalui mimpi yang benar di waktu tidur. Mimpi itu jelas dan
terang bagaikan terangnya pagi hari. Kemudian dia gemar menyendiri dan pergi ke
gua Hira untuk beribadah beberapa malam dengan membawa bekal. Sesudah kehabisan
bekal, beliau kembali kepada isterinya Khadijah r.a., maka Khadijah pun
membekalinya seperti bekal terdahulu sehinggalah beliau didatangi dengan suatu
kebenaran (wahyu) di gua Hira tersebut, apabila seorang malaikat (Jibril a.s.)
datang kepadanya dan mengatakan: Bacalah! Rasulullah menceritakan, maka aku pun
menjawab: Aku tidak tahu membaca. Malaikat tersebut kemudian memeluk-ku
sehingga aku merasa sesak nafas, kemudian aku dilepaskannya sambil berkata
lagi: Bacalah! Maka aku pun menjawab: Aku tidak tahu membaca. Lalu dia
memeluk-ku sampai aku rasa sesak nafas dan dilepaskannya sambil berkata:
Bacalah! Aku menjawab: Aku tidak tahu membaca. Maka dia memeluk-ku buat ketiga
kalinya seraya berkata: Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan.
Menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah! Dan Tuhanmu yang Maha
Pemurah! Yang mengajar dengan perantaraan kalam dan mengajarkan manusia apa
yang tidak diketahuinya. Setelah berlaku peristiwa itu kembalilah Rasulullah
s.a.w. kepada isterinya Khadijah (membawa ayat-ayat ini) dengan tubuh menggigil
sehinggalah akhir hadith. (al-Hadith). Imam-imam yang lain seperti al-Hakim
dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dalam al-Dalail dan al-Tabrani dalam al-Kabir
mengesahkan ayat tersebut adalah yang pertama diturunkan.
ii) Pendapat lain
mengatakan Surah al-Muddathir yang pertama kali diturunkan berdasarkan hadith
yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah seorang sahabat. Daripada Abu Salamah
bin Abdul Rahman, dia berkata: Aku telah bertanya kepada Jabir bin Abdullah:
Yang manakah di antara al-Quran mula-mula diturunkan? Jabir menjawab, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ . Aku berkata, Atau اقْرَأْ بِاسْمِ
رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ . Dia
Jabir berkata,Aku katakan kepada-mu apa yang dikatakan Rasulullah s.a.w. kepada
kami: Sesungguhnya aku berdiam diri di gua Hira. Maka ketika habis masa
diam-ku, aku turun lalu aku susuri lembah. Aku lihat ke depan, ke belakang, ke
kanan dan ke kiri. Lalu aku lihat ke langit, tiba-tiba aku melihat Jibril yang
amat menakutkan. Maka aku pulang ke Khadijah. Khadijah memerintahkan mereka
untuk menyelimuti aku. Mereka pun menyelimuti aku. Lalu Allah menurunkan: ْ يَا أَيُّهَا
الْمُدَّثِّرُ قُمْ فَأَنْذِرWahai orang yang berselimut; bangkitlah,
lalu berilah peringatan. . Mengenai hadith Jabir ini, dapatlah disimpulkan
iaitu pertanyaan tersebut adalah mengenai surah yang diturunkan secara penuh.
Jabir menjelaskan yang surah Muddathir diturunkan secara penuh sebelum surah Iqra
selesai diturunkan, karena yang turun pertama sekali daripada surah Iqra itu
hanyalah permulaannya saja. Ini diperkuatkan oleh hadith Abu Salamah daripada
Jabir yang terdapat dalam Sahih Bukhari dan Muslim. Jabir berkata: Aku
mendengar Rasulullah s.a.w. ketika bercakap mengenai putusnya wahyu, beliau
menyebut dalam percakapannya itu, Sewaktu aku berjalan, aku terdengar suara
dari langit. Kemudian aku angkat kepala-ku, tiba-tiba aku ternampak malaikat
yang mendatangi aku di gua Hira duduk di atas kursi antara langit dan bumi,
lalu aku pulang dan aku katakan: Selimutkanlah aku! Mereka pun menyelimuti aku.
Lalu Allah menurunkan ayat, يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ . Hadith ini menggambarkan peristiwa ini
terkemudian daripada peristiwa di gua Hira, atau al-Muddathir adalah surah yang
pertama diturunkan setelah terputusnya wahyu. Dapat disimpulkan ayat pertama
untuk kenabian ialah Iqra dan surah pertama untuk risalah ialah surah
al-Muddathir.
iii) Andaian ketiga
ialah berdasarkan satu kenyataan yang diperakukan kepada Ali bin Abi Talib,
disebut oleh Abi Ishaq daripada Abi Maisarah. Riwayat yang direkodkan oleh
al-Wahidi menyebut: Apabila Rasulullah muncul (dari gua Hira) dan mendengar
suatu suara menjerit, Wahai Muhammad, Rasulullah terus pulang ke rumah. Waraqah
bin Naufal menasihatkan Rasulullah mendengar kepada suara tersebut. Oleh itu
apabila Rasulullah kemudiannya mendengar suara tersebut, beliau menyahut; Suara
itu berkata, Katakanlah, Aku bersaksi sesungguhnya tiada tuhan yang berhak
disembah melainkan Allah dan Muhammad pesuruh Allah dan bacalah: الْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ..(al-Fatihah: 1-7)
iv) Sebahagian ulama
tabiin seperti al-Dhahhak bin Muzahim berpendapat ayat pertama ialah Bismillah.
Dia menyebut Abdullah bin Abbas pernah berkata: Perkara pertama yang diturunkan
oleh malaikat Jibril a.s. kepada Rasulullah s.a.w. dengan beliau mengatakan,
Wahai Muhammad, aku berlindung dengan Allah Yang Maha Mendengar, Maha
Mengetahui daripada Syaitan yang dilaknat, dan katakanlah: Bismillahir Rahmanir
Rahim (Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Maha Penyayang.) Al-Qadhi Abu
Bakar al-Baqillani menyebutkan hadith ini sebagai munqati dalam kitabnya,
al-Intisar. Menurut al-Zarkasyi di dalam kitabnya al-Burhan, sebahagian besar
ulama menyatukan hadith riwayat Aisyah dan Jabir dengan menyimpulkan Jabir
mendengar Nabi membicarakan peristiwa permulaan wahyu dan dia mendengar
bahagian akhirnya sedang bahagian pertamanya dia tidak mendengar. Jadi Jabir
menyangka surah yang didengarnya adalah yang pertama diturunkan, pada hal
bukan. Ibn Hibban dalam sahihnya menyatakan tidak ada pertentangan antara kedua
hadith tersebut kerana ketika turun kepada Rasulullah Iqra, beliau pulang ke
rumah lalu berselimut; kemudian turunlah al-Muddathir. Surah-surah lain yang
awal diturunkan termasuklah al-Masad (111), al-Takwir (81), al-Ala (87),
al-Lail (92) dan al-Fajr.
Para ulama juga
membicarakan ayat-ayat yang mula-mula diturunkan berdasarkan permasalahan atau
persoalan tertentu. Di antaranya ia melibatkan
i) Pertama kali
mengenai makanan-ayat 145 Surah al-Anam, ayat 145 Surah al-Nahl, ayat 173 Surah
al-Baqarah dan ayat 3 Surah al-Maidah;ii) Pertama kali mengenai minuman- ayat 219 mengenai khamar dalam Surah
al-Baqarah, ayat 43 Surah al-Nisa dan ayat 90-91 Surah al-Maidah; dan
iii) Pertama kali mengenai perang iaitu ayat 39 Surah al-Hajj.
2. Yang Terakhir Diturunkan
Pelbagai pendapat
mengenai yang terakhir diturunkan tetapi semua pendapat ini tidak mengandungi
sesuatu yang dapat disandarkan kepada Rasulullah s.a.w., malah masing-masing
merupakan ijtihad atau dugaan. Al-Qadhi Abu Bakar mengatakan mungkin mereka
memberitahu apa yang terakhir kali didengar oleh mereka daripada Rasulullah
s.a.w. ketika beliau hampir wafat. Antara pendapattersebut ialah:-
i. Pendapat Ibn
Abbas-banyak riwayat yang dikaitkan dengan Ibn Abbas:
a. Amir al-Shabi
meriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas pernah berkata: Ayat terakhir diturunkan
kepada Rasulullah s.a.w. adalah ayat mengenai riba. Firman Allah, يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا
بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِنْ كُنْتُمْ مُؤْمِنِينَ Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan
tinggalkanlah sisa riba – yang belum dipungut -. (al-Baqarah:278).
b. Ikrimah
meriwayatkan bahawa Ibn Abbas menyebut: Ayat al-Quran terakhir diturunkan
adalah, وَاتَّقُوا يَوْمًا تُرْجَعُونَ فِيهِ إِلَى
اللَّهِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لا يُظْلَمُونَ Dan peliharalah diri-mu daripada azab yang
terjadi pada suatu hari kamu semua dikembalikan kepada Allah. (al-Baqarah: 281)
c. Abdullah b. Utbah
r.a. katanya, Abdullah bin Abbas berkata kepada saya: Adakah anda tahu ayat
yang terakhir sekali turun? Jawab-ku tahu iaitu ِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ (Apabila datang pertolongan Allah dan
kemenangan) (al-Nasr: 1). Berkata Ibnu Abbas: Kamu benar.d. Said bin Jubayr
mengatakan orang-orang Kufah berselisih tentang ayat, وَمَنْ
يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ
اللَّهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin
dengan sengaja, maka balasannya ialah Neraka Jahanam, kekal dia di dalamnya dan
Allah murka kepadanya dan melaknatnya serta menyediakan baginya azab seksa yang
besar. (Al-Nisa:93). Saya menemui Ibn Abbas dan bertanyakan ayat ini dan beliau
berkata: Ayat ini adalah ayat terakhir diturunkan dan selepas itu tidak ada
ayat yang menasakhkan ayat ini.
ii. Pendapat al-Bara
bin Azib Berikut ialah dua kenyataan yang diriwayatkan oleh beliau:-
a. Abu Ishaq
al-Sabiee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: Surah lengkap terakhir
diturunkan ialah surah Baraah.Bukhari vol 3 Kitab al-Maghazi hadith 4364. b.
Abu Ishaq al-Sabiee meriwayatkan bahawa al-Bara mengatakan: Ayat terakhir
diturunkan ialah, يَسْتَفْتُونَكَ قُلِ اللَّهُ
يُفْتِيكُمْ فِي الْكَلالَة
Mereka (orang-orang Islam umat-mu) meminta fatwa kepada-mu (Wahai Muhammad
mengenai masalah Kalalah). Katakanlah: Allah memberi fatwa kepada kamu di dalam
perkara Kalalah itu(al-Nisa:176)
iii. Pendapat Ubay
bin Kaab Yusuf
b. Mihran
meriwayatkan daripada Abdullah bin Abbas yang Ubay bin Kaab mengatakan potongan
ayat al-Quran terakhir diturunkan ialah, لَقَدْ
جَاءَكُمْ رَسُولٌ مِنْ أَنْفُسِكُمْ عَزِيزٌ عَلَيْهِ مَا عَنِتُّمْ حَرِيصٌ
عَلَيْكُمْ بِالْمُؤْمِنِينَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari
golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat
kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak
(inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta
kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. (al-Taubah:128)
iv. Pendapat Abdullah
bin Amru bin al-As Abu Abdul Rahman al-Halabi mendengar Abdullah b. Amru
sebagai berkata: Surah terakhir diturunkan ialah Surah al-Maidah.
v. Pendapat Aishah
Jubayr bin Nufayl berkata, Aku pergi menemui Aishah, yang bertanya kepadaku:
Adakah kamu membaca Surah al-Maidah? Aku kata: Ya. Dia berkata: Inilah Surah
terakhir yang diturunkan
vi. Pendapat Umm
Salamah Mujahid b. Jabr mengatakan yang Umm Salamah berkata: Ayat terakhir
diturunkan adalah ayat, فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ
أَنِّي لا أُضِيعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِنْكُمْ مِنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثَى بَعْضُكُمْ
مِنْ بَعْضٍ فَالَّذِينَ هَاجَرُوا وَأُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوذُوا فِي
سَبِيلِي وَقَاتَلُوا وَقُتِلُوا لأكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّئَاتِهِمْ
وَلأدْخِلَنَّهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِنْ تَحْتِهَا الأنْهَارُ ثَوَابًا مِنْ
عِنْدِ اللَّهِ وَاللَّهُ عِنْدَهُ حُسْنُ الثَّوَابِ Maka Tuhan mereka perkenan doa mereka (dengan firmanNya):
Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang-orang yang beramal dari
kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan.. (al-Nisa:195)
vii. Pendapat
Umar al-Khattab Abu Said al-Khudry meriwayatkan daripada Umar al-Khatab yang
memberitahu ayat terakhir diturunkan ialah pengharaman riba (al-Baqarah:275)
dan Rasulullah s.a.w. wafat beberapa hari selepas itu dan perkara riba tersebut
tidak tertinggal tanpa penjelasan. viii. Pendapat Muawiyah bin Abi Sufiyan Amr
Qais al-Kufi meriwayatkan Muawiyah mengatakan ayat berikut sebagai ayat
terakhir diturunkan, قُلْ إِنَّمَا أَنَا بَشَرٌ
مِثْلُكُمْ يُوحَى إِلَيَّ أَنَّمَا إِلَهُكُمْ إِلَهٌ وَاحِدٌ فَمَنْ كَانَ
يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلا صَالِحًا وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ
رَبِّهِ أَحَدًا Katakanlah
(wahai Muhammad): Sesungguhnya aku hanyalah seorang manusia seperti kamu,
diwahyukan kepada-ku bahawa Tuhan kamu hanyalah Tuhan Yang Satu; Oleh itu,
sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah dia
mengerjakan amal yang soleh dan janganlah dia mempersekutukan sesiapapun dalam
ibadatnya kepada Tuhannya. (al-Kahfi:110) Sekiranya kita menganalisis
pendapat-pendapat di atas, kita akan menghadapi kesukaran untuk menentukan ayat
terakhir diturunkan kepada Rasulullah disebabkan perbezaan pendapat tersebut.
Walau bagaimanapun
kita boleh membuat rumusan berdasarkan logik;
i. Ayat 275 hingga 281 surah
al-Baqarah nampaknya diturunkan bersama kerana ayat ini membicarakan persoalan
riba dan hukum berkaitannya. Umar dan Abdullah Ibn Abbas mengatakan ayat riba
merupakan ayat terakhir diturunkan boleh dikatakan tepat memandangkan
Rasulullah wafat 9 hari selepas ayat ini diturunkan sebagaimana yang
diriwayatkan oleh Said bin Jubayr dan Ibn Jurayj mengenai ayat 281, surah
al-Baqarah.
ii. Pandangan Ibn Abbas mengenai ayat 93 surah al-Nisa ialah
tentang ayat terakhir berhubung pembunuhan seorang Muslim, bukannya ayat
terakhir al-Quran. Manakala pendapatnya mengenai surah al-Nasr tidak menjadi
masalah. Surah al-Nasr kemungkinan merupakan surah pendek yang terakhir diturunkan,
sementara surah al-Baraah merupakan surah panjang yang terakhir diturunkan. Ini
tidak bercanggah dengan pandangan Aishah dan Ibn Amr yang mengatakan surah
al-Maidah merupakan surah penuh terakhir diturunkan. Mereka bermaksud surah
terakhir mengenai perkara halal dan haram. iii. Pandangan al-Bara tentang ayat
176 surah al-Nisa sebagai ayat akhir turun ialah ayat akhir tentang faraid. Apa
yang diriwayatkan oleh Ubay bin Kaab mengenai ayat 128 hingga 129 surah
al-Taubah adalah sebahagian daripada surah tersebut yang diturunkan secara
keseluruhan sebagai surah panjang yang terakhir diturunkan. Riwayat Umm Salamah
pula bukannya mengenai ayat terakhir tetapi lebih kepada jawapan kepada soalan
beliau kepada Rasulullah mengenai kedudukan wanita dalam Islam. Pandangan
Muawiyah pula jelas merujuk kepada yang terakhir diturunkan di Mekah melibatkan
surah al-Kahfi termasuk ayat terakhirnya.
KESIMPULAN
Surah al-Taubah
sebagai surah panjang terakhir turun; Surah al-Nasr surah pendek terakhir
turun; dan ayat 275 hingga 281 Surah al-Baqarah merupakan ayat terakhir
diturunkan.
SUMBER: KOMUNITI ILUVISLAM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan