Sabtu, 29 Ogos 2009

Khutbah Jumaat; Tarbiah Ramadhan Memupuk Sifat Sabar

السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ …أَمَّا بَعْدُ…فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian agar kita sama-sama meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melakukan segala suruhanNya dan menjauhi segala yang ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 183 surah al-Baqarah :

يأيهاالذين امنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa

Kini sudah seminggu kita menyambut kehadiran bulan Ramadhan yang merupakan suatu bulan yang dijanjikan Allah dengan penggandaan pahala bersama terbuka luasnya pintu pengampunan dosa sewajarnya digunakan sebaik mungkin terutama dalam melahirkan diri kita sebagai umat yang bertaqwa sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah. Kita mesti menghidupkan bulan Ramadhan yang di dalamnya terkumpul hampir kesemua rukun Islam bermula solat lima waktu, puasa itu sendiri dan zakat fitrah. Kita mesti raikan Ramadhan dengan melipat gandakan ibadat disamping berusaha bersungguh-sungguh dalam menjauhi maksiat. Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang sentiasa merindui tarbiah Ramadhan sebagai suatu proses mendidik diri ke arah memiliki peribadi mulia bukannya sebagai seorang yang derhaka, yang menganggap bahawa ketibaan Ramadhan adalah suatu hukuman dan penyeksaan yang diharapkan cepat berlalu.
Ibadat puasa dapat melahirkan umat bertaqwa dengan cara melemahkan nafsu sehingga diri lebih mudah untuk mengerjakan ibadat serta menjauhi maksiat. Walau pun iblis dan syaitan dibelenggu sepanjang bulan Ramadhan ini, namun sahabat karib kepada syaitan terus wujud dalam diri kita iaitu nafsu. Kita mesti ingat bahawa dalam diri manusia adanya dua perkara yang tidak pernah tua walau pun seseorang itu telah lanjut usianya iaitu nafsu dan angan-angan.

عن صفية : قال النبي e : إِنَّ الشَّيْطَانَ لَيَجْرِيْ مِنِ ابْنِ آدَمَ مَجْرَى الدَّمِ فَضَيِّقُوْا مَجَارِيَهُ بِالجُوْعِ - رواه البخاري ومسلم

Maksudnya : Sesungguhnya syaitan itu berjalan dari anak Adam pada tempat jalan darahnya maka sempitkanlah tempat jalannya dengan lapar

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Antara ciri orang bertaqwa ialah mempunyai tahap kesabaran yang tinggi dalam menghadapi sebarang cubaan dan ujian daripada Allah sehingga imannya semakin kuat. Oleh itu ibadat puasa merupakan antara proses dalam menanam kukuh sifat sabar dalam diri umat Islam.

عن أبي هريرة: قال النبي e : الصَّوْمُ نِصْفُ الصَّبْرِ- رواه ابن ماجه

Maksudnya : Puasa itu sebahagian daripada sabar

Dalam hadis yang lain menyatakan, Sabar itu sebahagian daripada iman sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis
عن ابن مسعود: قال النبي e : الصَّبْرُ نِصْفُ الإْيمَانِ- رواه أبو نعيم

Maksudnya : Sabar itu sebahagian daripada iman

Semoga kita dapat gunakan peluang keemasan dengan kedatangan Ramadhan ini, untuk melatih diri ke arah menjadi umat yang lebih baik daripada tahun sebelum ini bukan sebaliknya. Kita merasa begitu gembira dan bersemangat melihat bagaimana suasana umat Islam dalam menghidupkan Ramadhan terutama pada waktu malam apabila begitu ramai yang memenuhi masjid dan surau. Kita mengharapkan suasana ini terus berlangsung bukan sahaja sehingga ke penghujung bulan Ramadhan ini, malah ia dapat diteruskan pada bulan-bulan yang lain bagi menunjukkan perubahan bahawa kita umat Islam sudah benar-benar kembali kepada kehidupan sebenar sebagai umat yang semakin dekat ikatan perhubungannya dengan Allah, sehingga janji kemenangan dan kemuliaan dapat diraih dengan seberapa segera. Janganlah kita hanya bersemangat pada awal Ramadhan sahaja, sedangkan apabila Ramadhan sudah hampir berlalu terutama pada malam-malam terakhir yang dijanjikan Allah, antara malamnya ada lailatul Qadar maka masjid dan surau kembali sunyi apatah lagi apabila berlalunya Ramadhan. Jika suasana hanya bersemangat dan rajin pada awal bulan sahaja terus berlangsung, maka lambat lagilah janji kemenangan oleh Allah yang hanya diturunkan kepada umat yang bertaqwa dan sentiasa istiqamah dalam beribadat dan berjuang dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini. Ingatlah bahawa janji kemenangan dan kemuliaan hakiki hanya dianugerahkan kepada umat yang sentiasa berusaha mendekatkan diri kepada Allah setelah segala usaha yang lain telah dilaksanakan dengan baik.

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,
Kita mengharapkan agar tarbiah Ramadhan dapat menambahkan lagi keyakinan kita terhadap segala isi kandungan al-Quran yang sentiasa dibaca pada bulan ini. Ramadhan merupakan bulan mula turunnya al-Quran kepada nabi Muhammad s.a.w. Janganlah kita hanya tahu membaca al-Quran sedangkan segala isi kandungan al-Quran tidak dihayati. Segala sistem yang dianjurkan oleh Islam tidak mahu dilaksanakan dengan pelbagai alasan. Kita begitu kecewa kerana adanya umat Islam pada bulan Ramadhan yang mulia ini, mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang berdasarkan Seksyen 136, Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan dibaca bersama Seksyen 4 Pindaan 1987, yang menjatuhkan hukuman 6 kali sebatan ke atas seorang model wanita yang meminum arak secara terbuka. Hukuman itu kononnya zalim. Walhal pesalah tersebut dengan rela, redha, bersedia dan tidak sabar untuk menerima hukuman tersebut kerana betul-betul menyesal dan insaf dengan kesilapan beliau. Kemudian pihak berkuasa pula menangguhkannya dengan alasan tiada kepakaran menyebat menurut perspektif Islam.
Sedangkan mengikut Islam yang sebenar, kesalahan meminum arak adalah di bawah hukum hudud. Hukuman kepada peminum arak setelah mencukupi syarat-syaratnya, boleh dijatuhkan hukuman 40 atau 80 kali rotan.
Ini jelas dinyatakan oleh Hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Thalib r.a. yang bermaksud;
” Rasulullah SAW telah menyebat orang yang minum arak sebanyak empat Puluh kali sebat, dan Saidina Abu Bakar telah menyebat sebanyak Empat Puluh kali sebat, dan Saidina Umar menyebat sebanyak Lapan Puluh kali sebat, semuanya adalah sunnah Rasulullah SAW dan ini lebih aku sukai” Riwayat Imam Muslim r.a.
Cuma, apa yang paling penting untuk difahami ialah cara sebatan yang dilaksanakan di dalam penjara Malasysia sekarang seperti yang tersebar dalam internet, adalah sangat berbeza dengan kaedah sebenar hukum Islam, kerana mengikut Islam sebatan ini perlu mengambil kira keadaan dan kesihatan pesalah, selain dari memastikan pesalah dalam keadaan sepenuhnya berpakaian menutup aurat.
Alat sebatan dan kaedah merotan hendaklah juga sederhana, antaranya bila sebatan dilaksanakan tangan tidak boleh diangkat sehingga menampakkan ketiak.
Sebatan juga tidak boleh sampai mencederakan, dan sebatan dilakukan di beberapa tempat pada badan dan bukannya pada satu tempat sahaja.
Dalam Islam, hukuman ini bukan bersifat untuk menyeksa tetapi bersifat mendidik pelaku kesalahan serta mendidik masyarakat awam supaya gerun untuk melakukan perbuatan itu lagi.
Aspek pencegahan inilah yang perlu ada dalam melaksanakan hukuman dalam undang-undang Islam. Oleh yang demikian, kita mengharapkan supaya pihak berkuasa tidak gopoh dalam pelaksanaan itu sehingga memberi gambaran yang salah mengikut syariat Islam.
Dalam masa yang sama kita berharap supaya wanita yang disabitkan itu betul-betul bertaubat kerana Allah Maha Pengampun dan Penyayang.
Apa yang seharusnya berlaku ialah arak haruslah di haramkan penjualannya secara menyeluruh terlebih dahulu kepada semua orang Islam. Masyarakat dan kerajaan juga perlu dididik supaya faham bahawa arak adalah haram di sisi agama Islam.
Haramnya arak adalah tidak mengira tempat kepada semua umat Islam – sama ada di restoran kecil atau besar, atau hatta di dalam rumah sendiri.
Menjalankan hukuman terhadap peminum arak tanpa menghapuskan puncanya – adalah seumpama menghadapi nyamuk Aedes dengan menamparnya sahaja, tetapi longkang-longkang dibiarkan berselerak sehingga menjadi sarang tempat pembiakan nyamuk yang membawa kepada denggi!
Sepatutnya semakin banyak berpuasa dan berterawih serta membaca al-Quran maka semakin kuat iman dan keyakinan kita terhadap sistem perundangan Islam yang digariskan dalam al-Quran dan hadis Nabi s.a.w, bukannya semakin kuat menentangnya. Inilah suatu tindakan yang memalukan umat Islam sedangkan orang bukan Islam pun tidak berbuat demikian. Ketika Allah menutup pintu neraka dengan membuka seluas pintu syurga sempena ketibaan Ramadhan maka kita jangan sekali-kali cuba mengetuk pintu neraka dengan melawan sistem Islam.
Ingatlah Firman Allah dalam ayat 49 surah an-Maidah:
وأن احكم بينهم بمآ أنزل الله ولا تتبع أهواءهم واحذرهم أن يفتنوك عن

بعض مآ أنزل الله إليك فإن تولوا فاعلم أنما يريد الله أن يصيبهم ببعض

ذنوبهم وإن كثيرا من الناس لفـــسقون

Maksudnya : Dan hendaklah engkau memutuskan perkara antara mereka menurut apa yang telah diturunkan oleh Allah. Dan janganlah engkau mengikut hawa nafsu mereka dan berhati-hatilah engkau terhadap mereka supaya mereka tidak memalingkan engkau daripada sebahagian apa yang telah diturunkan oleh Allah kepadamu. Jika mereka berpaling maka ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah hendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebahagian dosa mereka. Dan sesungguhnya kebanyakan manusia adalah orang-orang fasik.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian
Kedatangan bulan Ramadhan bukan bererti melemahkan umat Islam kerana terpaksa berpuasa sebaliknya ia menyemarakkan lagi semangat jihad dalam melawan musuh dalam diri iaitu nafsu dan musuh zahir. Kita yang hidup dalam keadaan aman sepatutnya bersyukur kepada Allah dengan memperbanyakkan ibadat bukannya bertambah liat apatah lagi terus bergelumang dengan maksiat. Renungilah nasib yang sedang dihadapi oleh kebanyakan saudara kita yang lain terutama di Palestin, Iraq dan sebagainya di mana mereka bukan setakat melawan nafsu tetapi turut berhadapan dengan musuh kuffar. Bilakah penderitaan saudara seagama kita itu akan berakhir dan adakah kuffar yang diketuai oleh Amerika dan didalangi oleh tangan jahat yahudi akan terus menjadi raja untuk melakukan kezaliman di atas muka bumi ini. Jawapannya terletak di atas bahu setiap diri umat Islam di mana adakah kita sudah mahu kembali kepada Islam yang menyeluruh atau terus mahu berpecah mengikut ideologi ciptaan kuffar.
Ingatlah bahawa semua kuasa besar yang zalim akan hancur dan akan kembali kepada Islam apabila dikehendaki Allah. Firman Allah dalam ayat 26 surah Ali ‘Imran :
قل اللهم مــلك الملك تؤتى الملك من تشاء وتنزع الملك ممن تشاء وتعز من تشاء وتذل من تشاء بيدك الخير إنك على كل شيء قدير

Maksudnya : Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan! Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki, dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan daripada sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki. Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan. Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Tiada ulasan:

kasihislami.blogspot.com